Oleh Yusoff A. Shariff
NEGARA akan menerima vaksin mpox yang diedarkan melalui Tabung Respons Asean Covid-19, kata Dr Dzulkefly Ahmad.
“Kami akan menerima penghantaran vaksin ‘Tecovirimat Antiviral (TPOXX) dan MVA-BN untuk mpox,” kata Menteri Kesihatan itu dalam dua catatan ringkas melalui X pada hari Isnin (2 Sept).
“TPOXX digunakan dalam rawatan mpox, terutama mereka yang mempunyai jangkitan akut dan sistem imun lemah,” tambah Dzulkefly.
Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin pada hari Selasa lalu juga mengumumkan bahawa kerajaan republik itu telah memesan beribu-ribu dos vaksin mpox dari Denmark untuk mencegah penularan penyakit itu, ekoran kebimbangan global yang semakin meningkat terhadap jangkitan virus tersebut.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan bahawa wabak mpox, jangkitan virus yang merebak melalui hubungan rapat, merupakan kecemasan kesihatan global untuk kali kedua dalam dua tahun.
Dr Dzulkelfy sebelum ini mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan, bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd untuk mengetatkan saringan bagi pelancong yang masuk melalui Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengurangkan risiko penularan mpox.
Kerajaan telah mengaktifkan bilik gerakan khas mulai 16 Ogos di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis Nasional untuk memantau dan mencegah sebarang kemungkinan penularan wabak dengan kerjasama negara Asean yang lain.
1/ Salam Bulan Merdeka🌹
..breaking news.
Msia 🇲🇾bakal terima segera agihan ubat Antiviral Tecovirimat (TPOXX) & Vaksin MVA-BN untuk MPox melalui ‘COVID-19 ASEAN Response Fund’* TPOXX diguna dlm rawatan MPox, khasnya yg mengalami jangkitan teruk @ mereka yg punya imuniti lemah. https://t.co/ECJ0PAFFIG
— Dzulkefly Ahmad (@DrDzul) September 1, 2024
-BTS Media