BTS Media

Mahkamah Bangladesh arah tarik balik kuota pengambilan pekerja perkhidmatan awam punca rusuhan pelajar

MAHKAMAH tertinggi Bangladesh pada hari Ahad mengarahkan rombakan peraturan pengambilan perkhidmatan awam yang dipertikaikan.

Ia, bagaimanapun gagal meredakan rusuhan pelajar universiti yang menentang skim itu hingga  mencetuskan rusuhan ganas di seluruh negara.

Setakat ini media Bangladesh melaporkan sekurang-kurangnya 151 orang terkorban.

Apa yang bermula sebagai protes terhadap kuota kemasukan ke perkhidmatan awam yang dipolitikkan bertukar menjadi paling teruk sejak Sheikh Hasina menjadi Perdana Menteri.

Tentera kini meronda semua bandar seluruh Bangladesh selepas polis rusuhan gagal memulihkan keadaan, manakala akses Internet disekat di seluruh negara sejak hari Khamis.

Mahkamah Agung negara itu akan membuat keputusan bulan depan mengenai kesahihan skim yang diperkenalkan semula baru-baru ini yang memperuntukkan lebih separuh pengambilan kerja untuk perkhidmatan awam bagi pemohon terpilih.

Menurut peguam negara Bangladesh A.M. Amin Uddin, ia memutuskan bahawa perintah mahkamah rendah bulan lepas untuk memperkenalkan semula skim itu adalah tidak sah.

Agensi berita AFP memetik seorang peguam, Shah Monjurul Hoque, bahawa mahkamah juga telah meminta pelajar yang membantah supaya kembali ke kuliah selepas mengeluarkan keputusan tersebut.

Keputusan itu mengehadkan kuota kemasukan ke perkhidmatan awam daripada 56 peratus kepada tujuh peratus, tetapi gagal memenuhi tuntutan penunjuk perasaan.

Ia mengekhaskan lima peratus daripada semua jawatan untuk anak-anak “pejuang kemerdekaan” semasa perang pembebasan Bangladesh tahun 1971 daripada kuasa Pakistan, turun daripada 30 peratus.

Satu peratus dikhaskan untuk komuniti asli, dan satu peratus lagi untuk orang kurang upaya, dan baki 93 peratus jawatan akan diputuskan berdasarkan merit.

Kategori “pejuang kemerdekaan” khususnya adalah titik kebencian bagi graduan muda, dengan pengkritik mengatakan ia digunakan sebagai alat parti pemerintah, Liga Awami.

Pelajar menggesa pemansuhan sepenuhnya kategori itu, bersama-sama dengan kuota lain untuk wanita dan daerah tertentu di negara tersebut.

-BTS Media

Leave a Comment