BTS Media

Muhyiddin: Apa jua keputusan jangan jejas perkhidmatan awam

Perikatan Nasional (PN) mengingatkan sebarang dasar baru bakal diambil kerajaan berhubung pelantikan pegawai awam tidak seharusnya menjejaskan perkhidmatan awam yang menjadi tunjang pentadbiran negara.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata isu bayaran pencen penjawat awam yang meningkatkan tanggungan fiskal negara perlu kepada satu penyelesaian tuntas.

Bagaimanapun katanya, kebajikan penjawat awam harus diberikan keutamaan dalam apa juga dasar yang akan diumumkan kerajaan selepas ini.

“PN menegaskan bahawa sebarang dasar baru mengenai pelantikan pegawai awam hendaklah dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan sektor perkhidmatan awam yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan.

“Isu bayaran pencen penjawat awam yang meningkatkan tanggungan fiskal negara telah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan penyelesaian yang tuntas.

“Namun begitu, sebarang bentuk penyelesaian yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan tidak boleh menjurus kepada pengabaian kebajikan penjawat awam atau pengecilan saiz perkhidmatan awam tanpa mengambil kira keperluan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat secara cekap, meluas dan berkesan di seluruh negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Muhyiddin berkata sebahagian besar daripada 1.6 juta kakitangan awam pada masa ini mengisi sektor-sektor penting dan kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan pengambilan secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam adalah langkah interim (bersifat sementara) ke arah pelaksanaan kaedah baru lantikan tetap pegawai awam yang akan melibatkan pindaan akta berkaitan.

JPA dalam kenyataan hari ini memaklumkan pegawai yang dilantik menerusi lantikan kontrak (interim) akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baru di bawah sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan kelak.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata penjawat awam adalah tunjang keupayaan negara yang terbukti penting ketika negara menghadapi krisis.

“Kerana itulah Malaysia menjadi antara negara yang paling awal dapat keluar dari wabak Covid-19.

“Justeru, apa pun langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan beban fiskal negara, kebajikan penjawat awam jangan diabaikan dan pengecilan saiz perkhidmatan awam jangan dijadikan fokus utama,” katanya lagi.

Leave a Comment