SEDUTAN video mempromosi sambutan acara tahunan George Town Festival 2024 (GTF 2024) mendapat kritikan Institut Kesedaran Rakyat (IKR) yang menyifatkannya sebagai tidak menjaga sensitiviti masyarakat Melayu di Pulau Pinang.
Pengerusi IKR Abdul Rahman Maidin mendakwa klip video tersebut membawa tanggapan bahawa Pulau Pinang eksklusif kepada kaum Cina dan India dan menurutnya ia tidak langsung memaparkan budaya Melayu.
“Video itu tidak langsung (menjaga) sensitif kepada wujudnya kaum Melayu di Pulau Pinang ini.
“Kalau tengok video itu, tiada satu pun (unsur) yang berkait dengan Melayu, seolah-olah Melayu tiada di Pulau Pinang ini,” katanya.
Abdul Rahman menyatakan sesuatu program yang dilakukan di atas nama negeri perlu memperlihatkan peranan kaum-kaum yang ada, khususnya kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini.
Sebelum ini, pihak George Town Festival mengeluarkan sebuah sedutan video bagi mempromosi sambutan acara itu yang akan berlangsung dari 9 hingga 28 Julai di Pulau Mutiara itu.
Klip video berdurasi satu minit 47 saat yang dihasilkan oleh Image Farm Productions itu mendapat perhatian kerana dilihat hanya memaparkan unsur budaya Cina dan India, pada masa sama tidak menunjukkan unsur budaya Melayu.
Susulan itu, Abdul Rahman menggesa pengarah program tersebut menarik video yang telah dikeluarkan itu dan membuat permohonan maaf.
“Minta maaf kepada orang Melayu dan tarik balik benda (video) itu,” katanya.
Pada masa sama, dia mencadangkan kepada pihak penganjur untuk membuat video baru yang menampilkan unsur budaya Melayu untuk dipersembahkan kepada masyarakat.
Penganjur mohon maaf
Sementara itu, pengarah artistik, Ling Tang GTF 2024 ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan motif sedutan video tersebut dihasilkan untuk menunjukkan kepakaran yang dikuasai oleh seniman terpilih dalam bidang masing-masing.
“Aspek kesenian budaya sememangnya merupakan sebahagian daripada seni tetapi festival ini bukan tertumpu kepada aspek budaya semata-mata.
“Motif video itu juga untuk menunjukkan bakat yang dibawa oleh artis-artis terpilih mengikut bidang mereka, bukan niat untuk membawa imej budaya mereka,” katanya.
Ling berkata GTF 2024 membawa pelbagai jenis konsep kesenian termasuk moden dan juga tradisional.
Bagi sambutan yang diadakan tahun ini pula, katanya GTF menumpukan kepada seni yang membawa unsur moden untuk dipersembahkan kepada masyarakat.
Ling juga berkongsi barisan seniman yang ada dalam video tersebut, bersama-sama bakat yang mereka bawa.
Antaranya Aida Redza yang mahir dalam bidang tarian, Ling Goh dalam bidang opera Teochew, Kumaran Rajangam dalam bidang musik, Trina Teoh dalam seni grafiti dan Lee Chee Cheng yang mahir dalam pertukangan kayu.
Ling turut menyatakan permohonan maaf kepada pihak yang tersinggung berhubung video itu.
“Kami mohon maaf kerana telah menyinggung perasaan pelbagai pihak melalui video tersebut.
“Niat kami sentiasa untuk meraikan kepelbagaian budaya yang mendefinisikan Pulau Pinang dan untuk memperlihatkan bakat luar biasa para seniman kita, tanpa mengira bentuk seni mereka.
“Seni bukanlah alat untuk perpecahan tetapi medium untuk perpaduan, keharmonian, dan rasa hormat terhadap kemanusiaan,” katanya.
Semakan Malaysiakini mendapati pautan di Youtube video itu kini tidak lagi boleh diakses.
Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/712034