GAMBAR: Tangkap layar monyet disyaki diberi makanan mengandungi racun di Paya Terubong, Pulau Pinang.
MENGGUNAKAN racun untuk menangani konflik manusia-hidupan liar ialah satu kesalahan di bawah undang-undang, kata aktivis ekologi.
Memetik Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, presiden dan ketua pegawai eksekutif Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia Andrew Sebastian berkata mereka yang berdepan masalah hidupan liar perlu mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa dan bukannya mengambil tindakan sendiri, lapor The Star.
“Menggunakan racun untuk menangani haiwan ialah satu amalan lapuk dan tidak berperikemanusiaan.
“Terdapat banyak jalan lain untuk menyelesaikan isu ini. Menggunakan racun membunuh sewenang-wenangnya bukanlah cara yang tepat,” kata Andrew dalam satu temu bual semalam.
Beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap kes baru-baru ini di mana dua beradik lelaki di Kedah maut selepas makan keropok bercampur racun tikus.
“Ini menjadi pengajaran pahit untuk semua orang. Kaedah ini menyalahi undang-undang dan membahayakan manusia, hidupan liar dan alam sekitar semula jadi,” tambahnya.
Pada 7 Julai lalu, dua beradik berusia dua dan tiga tahun itu dimasukkan ke hospital selepas makan keropok digantung di pagar taman berhampiran, yang dipercayai digunakan untuk membunuh monyet, di Labu Besar, Kulim, Kedah.
Kedua-dua adik-beradik itu telah meninggal dunia.
Andrew juga menasihatkan peniaga berhampiran kawasan yang mempunyai banyak hidupan memperuntukkan bajet bagi mengendalikan konflik manusia-hidupan liar.
“Kos menjalankan perniagaan harus termasuk memperuntukkan perbelanjaan bagi urusan hidupan liar,” katanya.
Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia Vincent Chow pula mencadangkan usaha bersepadu antara jabatan berkenaan untuk menangani konflik manusia-hidupan liar.
Beliau berkata masyarakat luar bandar mungkin tidak mempertimbangkan kesan akibat penggunaan racun, dan mereka tertumpu pada masalah yang didakwa boleh menjejaskan kehidupan mereka.
“Oleh itu, jika mereka berdepan dengan makhluk perosak, mereka secara semula jadi akan hanya memikirkan kaedah untuk menyelesaikan isu itu,” katanya.
Chow turut menekankan kepentingan kerjasama antara Jabatan Pertanian dan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk mendidik masyarakat mengenai kaedah yang kurang berbahaya untuk menangani konflik manusia-hidupan liar.
Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) mengenakan hukuman penjara terhadap mereka yang didapati bersalah menzalimi haiwan.
“Tindakan terbaik ialah dengan menghubungi pihak berkuasa dan biarkan mereka mengendalikannya. Jangan ambil tindakan sendiri,” katanya.
Jika keadaan kurang membahayakan, Chow turut mencadangkan penggunaan siren untuk mengurangkan konflik manusia-hidupan liar.
Pada bulan Jun lalu, empat ekor gajah di Johor mati selepas didakwa diracun.
Tahun lalu, anjing liar di Pantai Cherating, Pahang juga dikatakan mati akibat diracun.
Juga, sejak kebelakangan ini terdapat laporan mengenai gajah Borneo yang disyaki mati akibat diracun. Spesies yang juga dikenali sebagai gajah kerdil, kebanyakannya ditemui di Sabah.
Akta 772 Seksyen 29 menjadikan kesalahan bagi penganiayaan haiwan, Seksyen 30 (pembunuhan haiwan), Seksyen 31 (pemberian racun) dan Seksyen 32 (pelagaan haiwan).
“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya
-BTS Media