WAKTU Pertanyaan tergendala seketika di Dewan Rakyat selepas Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengalami sesak nafas pada hari Rabu (10 Julai).
Beliau dijadual menjawab soalan pertama daripada Wong Chen (PH-Subang) mengenai garis panduan lesen memandu Kelas A orang kelainan upaya (OKU) dan A1 untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing.
Dia turut ditanya mengenai rancangan kerajaan mengubah garis panduan bagi membolehkan pemandu OKU mendapat lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), lapor The Star.
Bagaimanapun, sebaik sahaja bangun untuk menjawab soalan itu, Loke tercungap-cungap dan kelihatan payah untuk menyampaikan beberapa baris pertama jawapannya.
Walaupun selepas berehat sebentar, Loke terus merasakan payah untuk bernafas sambil menepuk dadanya beberapa kali sebelum memberi isyarat kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah supaya menjawab bagi pihaknya.
Sebaik mengambil alih, Hasbi segera menyuruh Loke berehat sambil menjawab soalan itu.
Tidak lama kemudian Loke kelihatan pulih dan terus menyambung menjawab soalan tambahan.
Dia berkata kementerian akan terus menganjurkan agar pemegang lesen memandu OKU menyertai industri e-hailing berdasarkan kes demi kes.
Menurutnya, selagi mereka mendapat kelulusan perubatan dan menunjukkan bukti bahawa ketidakupayaan mereka tidak membahayakan diri, pemandu lain, atau penumpang, mereka akan diberikan pengecualian bagi mendapatkan lesen (PSV atau e-hailing)
Tambahnya, kementeriannya sedang mengkaji untuk menambah baik proses permohonan pemandu OKU yang layak mendapatkan lesen tersebut.
-BTS Media