GAMBAR: Jabatan Warisan Negara.
GEORGETOWN: Satu lagi patung lengkap ditemukan oleh pasukan penyelidik Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah baru-baru ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Roslan Abdul Rahman, berkata kajian stratigrafi, pemetaan kontur serta dokumentasi lebih teliti telah dijalankan terhadap struktur candi serta blok laterit yang ditemukan.
Beliau berkata penemuan Fasa III ekskavasi di dinding utara candi berkenaan yang dianggap penting di tapak tersebut ialah arca Buddha bersaiz manusia diperbuat daripada bahan ‘stucco’ (bahan campuran kapur, air dan pasir, ditemukan.
Menurut Roslan, berbeza dengan arca yang ditemukan ketika ekskavasi Fasa I dan Fasa II, arca kali ini lengkap bersama bahagian kepala serta ciri-ciri ikonografi seperti jubah, rias wajah dan pakaian.
“Selain itu, turut ditemukan ialah sebuah prasasti (batu bertulis) Sanskrit yang diukir di atas batu serta serpihan tembikar tanah,” katanya pada sidang media di USM, pada hari Rabu.
Roslan berkata, untuk penyelidikan lanjutan arca itu ditempatkan sementara di makmal PPAG USM bagi kerja konservasi.
Katanya, kajian perbandingan antara arca yang baharu ditemui itu dengan arca lain terutama dari tamadun India, Indochina dan Kepulauan Melayu dapat memberi gambaran penting mengenai masyarakat Kedah Tua daripada aspek keagamaan, kebudayaan serta hubungan daripada segi kesenian dan teknologi dengan dunia luar.
Menurut Roslan, penemuan terkini di Tapak Arkeologi Bukit Choras itu membuka tafsiran baharu mengenai kedudukan geostrategik Kedah Tua sebagai kota penting dalam jalur perdagangan maritim Asia Tenggara.
-BTS Media