BTS Media

Pengawal pantai China guna kayu, kapak ancam tentera laut Filipina

Oleh Yusoff A. Shariff

ANGGOTA pengawal pantai China mengacungkan senjata termasuk kayu, pisau dan kapak apabila berdepan dengan tentera laut Filipina yang cuba mempertahankan kedaulatan perairan negara itu di laut China Selatan pada hari Isnin lalu.

Rakaman video baharu dikeluarkan Manila menunjukkan pertembungan itu berlaku ketika tentera Filipina cuba membekalkan semula unit tentera lautnya di Second Thomas Shoal yang dipertikaikan, kata Manila.

Video tersebut menunjukkan bot-bot kecil yang dinaiki anggota pengawal pantai China menjerit, sambil mengacu pisau dan menggunakan kayu untuk menghentak bot tentera laut Filipina.

Anggota pengawal laut China itu “mengancam untuk mencederakan” seorang askar Filipina, manakala yang lain turut bertindak mengancam anggota lain.

Dalam kejadian itu seorang anggota tentera laut Filipina mengalami kecederaan apabila putus ibu jarinya ketika pengawal pantai China cuba merampas dan memusnahkan peralatan milik tentera Filipina, termasuk senjata api.

Rakaman video dikeluarkan oleh Manila didapati amat berbeza daripada versi video dikeluarkan sebelum ini oleh media kerajaan China pada hari Rabu, yang tidak menunjukkan tentera China menggunakan senjata.

Beijing tegar menegaskan bahawa pengawal pantainya bertindak secara “profesional dan terkawal” semasa konfrontasi tersebut dan menafikan bahawa mereka tidak mengancam pihak tentera Filipina.

Bagaimanapun, klip yang dikongsi oleh Manila menunjukkan seorang anggota pengawal pantai China berdiri atas sebuah bot sambil memegang sebilah kapak dengan cara mengancam.

Satu lagi klip video menunjukkan seorang lain memukul bot tentera Filipina dengan ganas menggunakan kayu, manakala seorang lagi kelihatan menikam bot RHIB itu dengan pisau.

“Anggota (pengawal pantai China) itu kemudian mula membaling batu dan objek lain ke arah anggota kami,” kata Manila.

“Mereka juga menetak (bot kembung), hingga tidak dapat beroperasi.”

Semua anggota tentera laut Filipina, berpakaian kamuflaj berwarna coklat dan memakai helmet dan jaket itu kelihatan tidak membawa apa-apa senjata.

Di tengah-tengah konfrontasi ganas tersebut, para anggota CCG (pengawal pantai China) juga menggunakan gas pemedih mata, justeru meningkatkan lagi kekecohan, sambil  membunyikan siren untuk mengganggu komunikasi.

Manila menuduh Beijing melakukan “tindakan lanun” terhadap tenteranya, dan mendesak supaya dipulangkan barang-barang yang “dirompak” oleh pihak China, termasuk tujuh senjata api, dan ganti rugi untuk peralatan yang rosak.

-BTS Media

Leave a Comment