PENDUDUK Cameron Highlands melahirkan kebimbangan selepas beberapa kawasan hutan berisiko tinggi dibersihkan untuk pembangunan.
Presiden Kesedaran Alam Sekitar Serantau Cameron Highlands (REACH) A. Dilip Martin berkata kawasan ini diklasifikasikan sebagai bukit Kelas Tiga dan Empat, yang disifatkan sebagai kawasan berisiko untuk sebarang pembangunan, lapor The Star.
Dilip Martin berkata penebangan hutan di tanah tinggi untuk projek pertanian, pembangunan dan eko-pelancongan sangat membimbangkan dan kini berada pada tahap kritikal.
“REACH telah memperoleh video dan foto yang menunjukkan cerun melebihi 45° dan bukit Kelas Tiga dan Empat ditarah untuk tujuan pertanian.
(Kelas Tiga adalah untuk cerun antara 25° dan 35° manakala cerun dengan sudut lebih besar daripada 35° dikelaskan sebagai Kelas Empat, yang menimbulkan risiko paling tinggi.)
“Penyahhutanan untuk tujuan pertanian di Lembah Bertam, yang mendapat kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) itu tidak mematuhi syarat kelulusan, dan pihak perunding telah melepaskan tangan mengenai perkara itu,” katanya.
“Mengapa kelulusan EIA perlu sekiranya syarat kelulusannya tidak dipatuhi?
“Kebenaran merancang diperoleh daripada Majlis Daerah Cameron Highlands, namun penguatkuasaan tidak dijalankan, justeru menyebabkan tanah (yang ditolak) memasuki kawasan ladang pihak lain,” katanya lagi.
Beliau juga berkata beberapa langkah sepatutnya diambil sebelum projek itu dimulakan, tetapi ia tidak dilaksanakan.
“Difahamkan perangkap kelodak hanya dalam proses pembinaan, sedangkan ia sepatutnya dibina sebelum projek dimulakan.
“Sistem saliran yang tidak mencukupi menyebabkan air melimpah ke ladang bawah, dan kerja-kerja pembenihan hidro di cerun terdedah juga tidak dilakukan,” katanya.
“Kegagalan penguatkuasaan ini membolehkan pemaju mengabaikan syarat kelulusan EIA,” tambahnya.
Dilip Martin berkata projek eko-pelancongan di Tringkap juga mendatangkan bahaya kepada penduduk di bandar itu.
“Kebanyakan penduduk bimbang dengan kerja tanah yang dijalankan pemaju kerana rumah mereka betul-betul terletak di bawah bukit yang diluluskan,” katanya.
“Persoalannya, bagaimana projek ini mendapat kelulusan EIA sedangkan kecerunannya melebihi 45° dan ia berada di Kelas Tiga dan Empat?
“Mengikut dokumen Rancangan Daerah Tempatan Cameron Highlands 2030, kawasan ini diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Peringkat Satu,” tambahnya.
Dilip Martin berkata REACH meminta Jabatan Alam Sekitar Pahang menyemak semua kelulusan EIA yang diberikan kepada projek di tanah tinggi.
“Kami juga memohon tindakan awal diambil bagi mengelak kehilangan nyawa dan penyesalan akibat bencana alam,” tambahnya.
-BTS Media