SUNGAI PETANI: Arahan memberhentikan seketika operasi perniagaan pasar malam pada waktu solat Maghrib di seluruh negeri ini, hanya untuk peniaga Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria, berkata peniaga bukan Islam, khususnya di pasar malam tidak tertakluk kepada peraturan berkenaan.
“Penguatkuasaan peraturan ini hanya membabitkan aktiviti perniagaan pasar malam di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak swasta.
“Peniaga bukan Islam yang berniaga di pasar malam bersama peniaga Islam cuma digalak mengikuti peraturan ini.
“Pada masa sama, kita juga menggalakkan pengunjung pasar malam beragama Islam tidak membeli-belah pada waktu solat Maghrib,” katanya pada sidang media di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di sini, hari ini.
Mansor berkata, penjelasan mengenai penguatkuasaan itu dibuat bagi memberi pencerahan kepada peniaga bukan Islam selepas terdapat banyak pertikaian di media sosial berkenaan arahan itu.
Sebelum ini, media melaporkan semua penjaja pasar malam di negeri ini diarah memberhentikan operasi perniagaan seketika, bagi menghormati waktu solat Maghrib bermula 1 Mei ini.
Tempoh itu adalah bermula lima minit sebelum masuk waktu dan 10 minit selepas masuk waktu solat Maghrib.
Penguatkuasaan itu selaras keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) yang bermesyuarat pada 21 Februari lalu.
Mansor berkata arahan itu dikeluarkan untuk memberikan keutamaan kepada peniaga, pekerja dan pengunjung menunaikan solat memandangkan waktu Maghrib yang singkat.
“Selain dapat menunaikan solat dalam keadaan selesa dan tidak tergesa-gesa, ia juga dapat mendidik peniaga Islam dan masyarakat supaya menunaikan solat di awal waktu.
“Malah peniaga dan pengunjung juga berpeluang menunaikan solat secara berjemaah di surau atau masjid yang berdekatan kawasan pasar malam berkenaan,” katanya.
Mansor berkata, penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan turut melakukan pemantauan secara berkala di pasar malam setiap daerah bagi menggalakkan umat Islam menunaikan solat pada waktunya.
“Kita masih dalam fasa mendidik, tindakan akan diambil hanya selepas sampai suatu tahap yang dirasakan sesuai. Buat masa ini, anggota PBT akan turun padang membuat pemantauan,” katanya.