GAMBAR: The Star
BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman melahirkan kebimbangan mengenai masa depan parti itu dalam perjuangan membela kepentingan orang Melayu dan Islam.
Katanya, suara UMNO semakin mengecil dan hampir tidak kedengaran dalam soal sensitiviti, terutama yang ditimbulkan pemimpin dalam pentadbiran kerajaan.
“Sekarang ini apabila ada isu yang menggugat maruah orang Melayu, tiada suara dari Umno. Ada segelintir orang kata mercun katak, tetapi selebihnya memilih untuk berdiam diri.
“Saya sedih kerana daripada Majlis Tertinggi hingga ke bahagian, semua diam hanya fikir kepentingan sendiri, nak jawatan dan bukan untuk perjuangan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Iftar Perdana bersama Media Perak di Taj International College (TIC) ) di Ipoh pada hari Rabu.
Tajuddin berkata, Umno perlu mengambil kesempatan keadaan dengan memberi pandangan serta teguran yang boleh mengembalikan kepercayaan orang Melayu.
“Kalau tidak ada perubahan dari segi tindakan, khidmat kepada masyarakat dan kepimpinan, adalah sukar untuk Umno pulih dan bangkit semula,” katanya.
Sebelum ini, Tajuddin digantung keahlian parti selama enam tahun berikutan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang diadakan pada 30 Sept 2022.
Pada 21 Julai tahun lalu, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata beliau sudah empat kali mengemukakan rayuan, tetapi permohonannya tidak dijawab dan tidak berhasrat untuk merayu lagi.
-BTS Media