DUA warga asing didakwa cuba menculik disahkan polis cuma mahu membantu kanak-kanak berusia 19 bulan itu menaiki tangga bergerak, dalam kejadian di sebuah pasar raya berdekatan Klang Sentral, Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata siasatan mendapati berlaku salah faham mengenai kejadian itu selepas pihaknya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya tersebut.
“Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa bersama ibu dan ibu saudaranya menaiki tangga bergerak yang ketika itu rosak dan mangsa dilihat sukar menaiki tangga itu.
“Kebetulan dua lelaki warga asing itu turut berada berdekatan mangsa dan mereka mengangkat mangsa dengan tujuan membantu bagaimanapun perbuatan itu disalah erti ibu mangsa yang menyangka bahawa anaknya itu cuba dilarikan,” katanya menurut Harian Metro pada sidang media di IPK Selangor.
Katanya, suspek yang bekerja secara sah di kilang berdekatan juga tidak melarikan diri ketika ditahan orang awam selain semakan mendapati tiada sebarang persediaan menculik dikesan di sekitar pasar raya itu seperti kenderaan melarikan mangsa.
“Bagaimanapun, kertas siasatan akan kita lengkapkan dan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya,” katanya.
Hussein turut menasihatkan orang ramai agar tidak sewenangnya memegang anak orang lain terutamanya yang tidak dikenali kerana ia akan menimbulkan salah faham dan panik.