EDITOR Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, mendakwa Interpol menolak permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengeluarkan notis merah terhadapnya.
Notis merah merupakan permohonan undang-undang peringkat antarabangsa untuk membolehkan polis sesebuah negara mengkesan dan ditangkap individu dikehendaki sebelum diekstradiri ke negara berkaitan.
“Saya ada berita hari ini – Interpol telah menolak permintaan notis merah daripada Malaysia terhadap saya,” kata Clare dalam forum anjuran Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) malam tadi.
Dia sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia kerana mendedahkan kegiatan rasuah.
Katanya dia dimaklumkan mengenai penolakan tersebut oleh pihak berkuasa British.
Bagaimanapun, Clare tidak mendedahkan bila permohonan tersebut dibuat.
Laporan BBC bulan lalu menyatakan PDRM cuba mendapatkan notis merah Interpol sebanyak dua kali ke atas Clare berhubung liputannya mengenai skandal 1MDB.
Kata Clare, kedua-dua permohonan dikemukakan pihak berkuasa Malaysia ditolak Interpol.
Clare seorang wartawan penyiasatan yang berpangkalan di UK dan membuat liputan meluas berhubung dakwaan salah guna Najib Razak dalam skandal berbilion ringgit dana 1MDB.
Wartawan itu juga mendakwa seorang anggota kanan kabinet Malaysia secara “berjenaka” memberitahu, dia hanya boleh didakwa jika menjejakkan kaki di Malaysia.
“Saya rasa saya boleh rasa sedikit lega tetapi saya tidak fikir ia berita baik kepada wartawan yang cuba menulis, bekerja dan mempertanggungjawabkan pihak berkuasa serta kerajaan Malaysia,” katanya.
Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/699336