PARTI-PARTI Melayu di negara ini diberitahu supaya tidak mengambil mudah amaran yang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, jika tidak mahu melihat orang Melayu terus kehilangan kuasa.
Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata dengan jurang yang semakin meningkat, tidak mustahil perkara itu berlaku dan Malaysia boleh menjadi seperti Singapura, lapor akhbar Sinar Daily.
Selain kurangnya persetujuan, beliau berkata perpecahan itu semakin ketara dengan kewujudan terlalu banyak parti berasaskan Melayu di negara ini.
“Saya bersetuju dengan kenyataan Tun Mahathir walaupun ada ketikanya lantang, tetapi amarannya berasas. Dalam tempoh 10 tahun lagi, bermakna dua lagi pilihan raya nanti, orang Melayu tidak lagi berkuasa dan akan kehilangan negara.
“Saya tidak nampak mustahil kerana lihat sahaja keadaan semasa. Walaupun parti-parti ini membentuk gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), namun terlalu banyak parti berasaskan Melayu.
“Impak besar yang kita boleh jangkakan ialah Malaysia menjadi seperti Singapura. Hanya tinggal 15 peratus orang Melayu di negara ini dan kita boleh lihat bagaimana penduduk asal kehilangan kuasa di tanah air sendiri. Ini adalah sesuatu yang berlaku di depan mata kita,” katanya kepada Sinar.
Pada hari Sabtu lalu, Dr Mahathir berkata bahawa bangsa Melayu berisiko lenyap dalam tempoh 10 tahun akan datang jika mereka tidak bersatu mulai sekarang.
Bekas perdana menteri itu berkata, orang Melayu juga akan ‘ditawan’ dan ‘hilang tanpa berperang’ kerana tiada siapa yang mengambil berat tentang nasib bangsa tersebut ketika ini.
Mengulas lanjut, Teo berkata, bagi mengelak perkara itu berlaku, semua pihak perlu menepis sentimen politik dan mendengar nasihat Dr Mahathir sebagai seorang negarawan berpengalaman.
“Orang Melayu khususnya perlu bangkit semula untuk bersatu dan menunjukkan kebolehan mereka. Kita ambil contoh apabila penjajah pernah memaksa raja-raja menandatangani gagasan Kesatuan Malaysia.
“Namun, kerana perpaduan dan rakyat berdiri bersama, ia akhirnya dibatalkan.
“Tun Mahathir pernah meramalkan kehancuran UMNO 10 hingga 20 tahun lalu dan ia menjadi kenyataan. Jadi, apa salahnya kita mengambil amaran beliau sebagai nasihat daripada orang yang berpengalaman dalam mengekalkan kuasa Melayu di bumi berdaulat,” jelasnya.
-BTS Media