BTS Media

Khairy kesal Zaliha diam mengenai pertikaian kaitan merokok dan kanser

Oleh Fetty Rara

BEKAS menteri kesihatan Khairy Jamaluddin kecewa dengan penggantinya Dr Zaliha Mustafa kerana membisu berikutan kenyataan Tiong King Sing yang mempersoalkan kaitan antara merokok dan kanser.

Beliau berkata amat mengecewakan Dr Zaliha tidak tampil untuk membetulkan kenyataan Tiong, yang merupakan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, berhubung kenyataan itu, lapor NST.

Khairy berkata beliau rasa malu kerana mendapati ada seorang menteri pada tahun 2023 yang mempersoalkan kaitan di antara merokok dan kanser.

 “Saya juga merasa amat kecewa bahawa Menteri Kesihatan, yang ditugaskan untuk menjaga kesihatan awam di negara ini, tidak tampil untuk membetulkan rakan sekerjanya,” katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan satu acara di Pusat Belia Tunku Mahkota Ismail di Johor Baru semalam.

Menurut Khairy, beliau marah kerana apa yang berlaku bukan sekadar serangan terhadap fakta sains dan perubatan, malahan adalah serangan terhadap kesihatan awam, dan Menteri Kesihatan langsung tidak tampil untuk membetulkannya.

Tambahnya, beliau juga hairan dengan perubahan mendadak pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023.

Generational Endgame (GEG), iaitu rang undang-undang berhubung merokok yang sedang dicadangkan adalah bertujuan untuk menamatkan tabiat merokok bagi generasi yang lahir pada tahun 2007 dan selepasnya.

Dalam beberapa catatan Instagram pada hari Khamis, Khairy mempersoalkan kecetekan ilmu yang ada pada Tiong, dan mendakwa bahawa anggota kabinet itu tidak mencerminkan kualiti Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Isu ini timbul selepas Tiong, dalam catatan Facebook awal hari Khamis, menuduh Khairy sebagai menteri kesihatan paling teruk, dan menggesa orang ramai berhenti menyalahkan menteri yang ada sekarang atas kegagalan meluluskan Rang Undang-undang GEG, yang merupakan idea Khairy.

Tiong mendakwa Khairy kononnya gagal memberikan bukti lengkap bahawa tabiat merokok mempunyai kaitan dengan kanser semasa beliau memegang jawatan menteri kesihatan, justeru menjadikan rang undang-undang tersebut “tidak berperlembagaan” dan “tidak boleh dikuatkuasakan”.

Dr Zaliha berkata rang undang-undang itu akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen pada 10 Okt selepas dipersetujui Kabinet pada 4 Okt untuk proses seterusnya.

Bagaimanapun, bacaan kali kedua telah ditangguhkan untuk memberi laluan kepada urusan kerajaan di Parlimen.

-BTS Media

Leave a Comment