Oleh Zainal AS Rashid
PLATFORM media sosial, TikTok, kini mendapat tekanan daripada selebriti pro-Israel dan “influencer Yahudi” supaya menyekat kandungan pro-Palestin, lapor akhbar New York Times (NYT).
Menurut akhbar itu, awal minggu ini beberapa eksekutif kanan syarikat tersebut telah mengadakan pertemuan dengan sekumpulan selebriti pro-Israel, termasuk pelakon Sacha Baron Cohen, Debra Messing dan Amy Schumer untuk membincangkan apa yang mereka menganggap sebagai lonjakan sentimen anti-Yahudi pada platform berkenaan.
Bagaimanapun, rakaman perbualan telefon yang diperoleh NYT mendedahkan realitinya agak berbeza.
Pihak atasan TikTok nampaknya berada di bawah tekanan kuat supaya bekerjasama dengan tuntutan menyekat pengguna dan kandungan yang mempromosikan dan menyokong Palestin.
Bukan itu sahaja, selebriti yang mengambil bahagian menyamakan sebarang kritikan terhadap Israel sebagai tindakan Nazisme.
“Apa yang berlaku di TikTok jelas dilihat sebagai usaha untuk mewujudkan gerakan anti-Yahudi terbesar sejak era Nazi,” kata Cohen yang sememangnya tidak memiliki akaun TikTok rasmi.
“Kamu sepatutnya berasa malu,” katanya kepada ketua operasi TikTok Adam Presser, sambil mendakwa bahawa platform media sosial itu boleh “memetik suis” dengan mudah untuk menyekat kandungan anti-Yahudi pada platform berkenaan.
Antara tuntutan kumpulan selebriti pro-Israel itu, termasuk “arahan” supaya TikTok mengenakan sekatan lebih ketat terhadap penggunaan frasa “dari sungai ke laut,” yang penyokong negara aparteid Israel mendakwa sebagai memupuk sentimen anti-Yahudi, walaupun ia sebaliknya secara terbuka digunakan oleh pemimpin Israel untuk menegaskan penguasaan Israel ke atas setiap inci bumi Palestin yang dikuasainya.
Presser berkata terpulang kepada 40,000 moderator TikTok untuk mentafsirkan apa yang didakwa.
Beliau berkata, “Jika apa yang ditimbulkan itu benar dan jelas, iaitu mesej supaya “membunuh Yahudi” dan “menghapuskan negara Israel,” mereka bersedia untuk menyekat dan memadamnya.
Bagaimana pun, Presser berkata, “Pendekatan kami, sehingga 7 Okt, hingga hari ini, adalah sekiranya seseorang pengguna tidak secara terus dan ketara menggunakan frasa yang didakwa itu, Tik Tok menganggapnya sebagai sesuatu yang boleh diterima.”
Pertemuan dengan TikTok itu adalah antara usaha terdesak rejim Israel untuk mengawal dan menyekat apa sahaja pendapat yang dirasakan sebagai anti-Yahudi dan anti-Israel.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beberapa penggubal undang-undang di Washington turut mendesak supaya diharamkan TikTok, yang dimiliki oleh syarikat China, ByteDance dengan alasan kononnya Beijing mempengaruhi kandungan yang dipromosikan melalui algoritma platform tersebut.
Namun, secara amnya TikTok dilihat menunduk kepada tekanan Israel berkaitan kandungan anti-Yahudi dan anti-Israel, lapor portal berita Middleast Monitor.
-BTS Media