JOHOR BAHRU: Peniaga ayam segar di sekitar Johor Bahru mengeluh jualan mereka terus merudum walaupun ia masih ditawarkan pada harga siling terdahulu, iaitu RM9.40 sekilogram, termasuk selepas pemberian subsidi dan harga kawalan bagi bahan mentah itu ditamatkan sepenuhnya mulai hari ini.
Tinjauan di beberapa pasar basah di Tampoi, Perling dan Skudai mendapati lot-lot niaga ayam segar dilihat lengang tanpa pelanggan.
Peniaga ayam, Mohd Faizul Sahak, 29, mendakwa jualannya merosot teruk hingga 40 peratus sejak bulan lalu, malah situasi kekurangan pelanggan semakin ketara sejak dua minggu lalu.
“Sebelum ini, kami yang berniaga ayam segar mampu menjual antara 200 hingga 300 ekor ayam sehari, namun sejak dua minggu lalu nak capai 100 ekor pun susah.
“Walaupun subsidi dan harga siling ayam segar ditamatkan mulai hari ini, ayam segar masih dijual pada harga lama RM9.40 sekilogram yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.
“Malah, ramai peniaga risau apabila subsidi dan harga siling ayam ditamatkan kerana bimbang harganya akan naik mendadak seminggu dua lagi. Pada harga sekarang pun ramai pengguna sudah tidak membeli ayam, bayangkan apabila harganya naik mendadak nanti,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi peniaga ayam, Ann Mohamad, 34, turut senada bimbang ramai peniaga ayam segar akan terjejas susulan penamatan subsidi dan harga kawalan bahan mentah itu.
Beliau berkata, orang ramai kini juga dilihat beralih daripada membeli seekor ayam kepada hanya membeli bahagian ayam import dari Thailand yang dijual pada harga lebih murah.
“Sebelum ini, setiap keluarga lazimnya membeli dua tiga ekor ayam segar untuk seminggu tetapi sekarang yang membeli seekor ayam pun sudah amat kurang. Malah, kebanyakan pengguna juga beralih kepada membeli ikan yang murah harganya.
“Dulu, peniaga di pasar basah ini mampu menjual hingga 300 ekor ayam segar sehari tetapi sekarang sudah jam 12 tengah hari nak dapat jual 50 ekor pun sakit,” katanya.
Sementara itu pengguna, Aidil Salleh, 46, yang bekerja sebagai atendan pam minyak mengaku terpaksa mengambil langkah lebih berjimat cermat susulan kenaikan ketara harga barangan keperluan sejak kebelakangan ini.
“Kami golongan B40 amat terjejas dengan kenaikan harga barang keperluan yang menyebabkan kami tidak lagi dapat berbelanja seperti dulu. Jika dulu saya membeli dua ayam segar dalam seminggu, namun kini dihadkan kepada membeli seekor atau bahagian ayam saja untuk anak-anak,” katanya.
Suri rumah, Noraini Maton, 42, pula berharap kerajaan membantu golongan B40 yang semakin terhimpit dan tidak berkemampuan mendapatkan barangan keperluan seperti dulu.
“Peniaga ayam pun sudah memaklumkan harga ayam mungkin naik seminggu dua lagi berikutan ketiadaan subsidi dan harga siling. Jika harga ayam naik nanti, kami akan semakin terhimpit dan tidak tahu boleh berbelanja macam mana lagi,” katanya.