BTS Media

Kolej Tingkatan Enam kini dikenali sebagai Kolej Pra-Universiti

SELAYANG: Kementerian Pendidikan (KPM) membuat penjenamaan semula beberapa istilah dalam sistem pendidikan Tingkatan Enam berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata Kolej Tingkatan Enam kini dikenali sebagai Kolej Pra-Universiti KPM dengan jawatan pengetua akan ditukarkan kepada pengarah.

Penjenamaan semula itu turut menyaksikan perubahan bagi istilah guru penolong kanan kepada timbalan pengarah, manakala guru kepada pensyarah dan murid menjadi pelajar.

Menerusi proses sama, katanya, pengarah Kolej Pra-Universiti diberi autonomi bagi pengambilan pelajar Tingkatan Enam secara terus, sekiranya masih terdapat kekosongan.

“Penjenamaan semula ini dibuat dalam usaha memberi peluang kepada murid untuk melangsungkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan KPM akan meneliti kelonggaran syarat bagi kemasukan ke Tingkatan Enam.

“Justeru, KPM merangka strategi bagi pemberian autonomi kepada Pengetua Pusat Tingkatan Enam bagi pengambilan pelajar, sekiranya masih terdapat kekosongan.

“Pengarah akan mengenal pasti pelajar berpotensi yang memerlukan peluang menyambung pengajian dan boleh menggunakan kuasa autonomi untuk membuat tawaran sendiri secara terus kepada murid berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ‘Malaysian University English Test’ (MUET) serta Ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2022 hari ini.

Bercakap pada sidang media, Fadhlina berkata, penjenamaan semula istilah guru akademik Tingkatan Enam kepada pensyarah tidak membabitkan perubahan gred perjawatan mahupun kelayakan akademik.

Selain itu, katanya, pembaharuan berkenaan bertujuan memberi hala tuju dan imej lebih prestij kepada Tingkatan Enam, selain setiap fasiliti, infrastruktur dan keperluan Tingkatan Enam akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

67 peratus lepasan SPM sah kemasukan ke Tingkatan Enam

Beliau turut memaklumkan, 67 peratus daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini sudah mengesahkan kemasukan ke Tingkatan Enam.

“Kita masih buka lagi kepada mana-mana pihak yang berhasrat masuk ke Tingkatan Enam untuk sama-sama memohon bagi memenuhi kuota.

“Malah, kadar kemasukan ke universiti dalam kalangan lepasan STPM sangat tinggi iaitu 90 peratus. Maknanya mereka boleh masuk ke universiti dengan penguasaan cukup tinggi, bukan sahaja di bidang akademik dan sahsiah tetapi kelayakannya membolehkan mereka memenuhi merit untuk ke universiti,” katanya.

Mengenai autonomi kepada Pengarah Kolej Pra-Universiti KPM, beliau berkata, ia bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian institusi di bawah KPM, selain mengurangkan kadar keciciran, sekiranya ada.

“Mereka ini yang dikenal pasti, seharusnya mempunyai peluang menyambung pengajian tetapi tidak memiliki akses dan tak tahu mahu ke mana. Justeru, kita berikan autonomi kepada pengarah untuk kenal pasti sendiri pelajar di lokaliti masing-masing.

“Tawaran ke Tingkatan Enam sebelum ini, melalui KPM dan mungkin kita terlepas pandang. Mungkin ada yang berpotensi dan mahu menyambung pengajian tetapi tiada peluang.

“Jadi inilah peluang paling efektif dan efisyen untuk memberi ruang kepada mereka melanjutkan pengajian,” katanya.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1126050/kolej-tingkatan-enam-kini-dikenali-sebagai-kolej-pra-universiti-kpm

Leave a Comment