BTS Media

Musim kemarau di selatan ASEAN, Malaysia, risiko jerebu lebih tinggi Jun hingga Oktober

 

Oleh Zainal AS Rashid

SELATAN ASEAN termasuk Malaysia semalam memasuki musim kemarau Monsun Barat Daya, yang dijangka berterusan sehingga Oktober ini, kata Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC).

ASMC juga berkata wilayah selatan ASEAN dijangka berdepan risiko jerebu lebih tinggi dari Jun hingga Oktober tahun ini.

Pusat itu semalam mengeluarkan amaran “tahap 1”, yang menandakan permulaan musim kemarau di selatan ASEAN.

ASMC juga memantau cuaca kering berterusan sejak beberapa hari ini di kebanyakan bahagian Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan selatan Thailand, ketika jalur hujan monsun bergerak ke utara Khatulistiwa.

“Dengan kemungkinan besar peningkatan El Niño dalam beberapa bulan akan datang, musim kemarau kali dijangka lebih serius dan berpanjangan dijangka berlanjutan hingga Oktober 2023 berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

El Niño, yang biasanya berlaku setiap tiga hingga lima tahun dan berlarutan selama sembilan hingga 12 bulan, adalah corak iklim yang berlaku secara semula jadi di mana terdapat pemanasan tidak normal di permukaan air timur Lautan Pasifik tropika.

Fenomena ini menghasilkan perubahan meluas dan kadangkala teruk pada iklim global.

Di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, ia menyebabkan cuaca lebih kering dan meningkatkan risiko kebakaran hutan dan jerebu, kata laman web ASMC.

ASMC menggunakan sistem tiga peringkat untuk memberi amaran awal mengenai pergerakan jerebu rentas sempadan, yang melibatkan pencemaran di sesebuah negara tetapi berpunca di negara lain di rantau ASEAN.

Di bawah sistem amaran ASMC, amaran Tahap 1 adalah untuk “musim kemarau”, manakala amaran Tahap 2 apabila terdapat “peningkatan risiko jerebu rentas sempadan” di rantau ASEAN (menampilkan petunjuk seperti peningkatan ‘titik panas’ bersama jerebu asap tebal selama dua hari atau lebih berturut-turut; cuaca kering berterusan; dan angin yang meniup jerebu asap dari kawasan panas ke arah negara-negara jiran ASEAN).

Amaran Tahap 3 kategori paling serius apabila terdapat “risiko tinggi jerebu rentas sempadan teruk” di rantau ASEAN (dengan penunjuk aktiviti titik panas “ketara dan berterusan” bersama jerebu asap sederhana hingga tebal meluas selama dua hari atau lebih berturut-turut; cuaca kering berterusan; dan angin bertiup kencang yang membawa asap jerebu dari kawasan panas ke arah negara jiran ASEAN).

Dalam kenyataannya semalam, ASMC berkata aktiviti titik panas di selatan ASEAN masih lemah, dengan 14 titik panas dikesan pada 27 Mei dan 13 titik panas dikesan pada 28 Mei.

“Beberapa kepulan asap setempat dikesan di sesetengah bahagian rantau ini selama beberapa hari pada Mei 2023, tetapi tiada kejadian jerebu asap rentas sempadan berlaku setakat,” katanya.

“ASMC mengunjurkan risiko lebih tinggi peningkatan aktiviti kawasan panas dan kejadian jerebu asap rentas sempadan di ASEAN selatan antara Jun dan Oktober 2023, berbanding tiga tahun lepas apabila musim kemarau disederhanakan oleh keadaan La Niña yang berpanjangan.

“Langkah berjaga-jaga dan mitigasi awal dinasihatkan untuk mengelakkan berlakunya kebakaran dan jerebu rentas sempadan di rantau ini,” katanya.

Menurut maklumat pada laman web ASMC, fenomena La Niña adalah kebalikan El Niño, dan melibatkan perairan lebih sejuk yang merebak di timur Lautan Pasifik tropika sepanjang pantai Amerika Selatan. Fenomena ini mengakibatkan Asia Tenggara mengalami taburan hujan lebih tinggi daripada biasa, yang boleh mengakibatkan peningkatan kejadian banjir.

Status terkini setakat semalam yang berpandukan peta pengawasan satelit ASMC menunjukkan titik panas dikesan di Laos, Vietnam dan Borneo (terutamanya di Kalimantan, Indonesia dan beberapa titik panas di Sabah dan Sarawak). Status peta setakat semalam tidak menunjukkan sebarang jerebu.

-BTS Media

Leave a Comment