BTS Media

Dah jumpa! 18 tahun peminat tegar KFC cari ayam goreng terbaik  di dunia

Oleh Zainal AS Rashid

Dia mengembara ke serata dunia selama 18 tahun untuk mencari negara mana mempunyai ayam goreng KFC terbaik.

Setelah menjelajah ke berpuluh negara, dia akhirnya terjumpa apa yang dianggap ayam goreng KFC paling lazat – di Mongolia!

Jacky Tan, seorang perunding pemasaran berusia 41 tahun dari Singapura, memulakan penjelajahannya untuk mencari Ayam Goreng Kentucky terbaik dunia pada tahun 2005 selepas mendapati resipi asal jenama KFC terasa berbeza di luar negara, lapor akhbar Independent.

Sejak itu, dia mengambil setiap peluang untuk mencuba semua ayam goreng KFC sama ada semasa bekerja bersama isterinya yang sering kali terpaksa dipujuk melencong daripada pelan perjalanan asal untuk mencari apa yang dihajati.

Minat Jacky kepada ayam goreng KFC tidak pernah luntur walaupun semasa dia honeymoon di Barcelona, Sepanyol.

Bagaimana pun, dia berkata pengalaman memakan ayam goreng KFC di Barcelona mendapati bandar raya itu menawarkan ayam goreng paling teruk, selepas Hong Kong dan Australia.

Jacky membuat pesanan yang sama di setiap negara dan telah mereka akronim sendiri, ‘TaF-Ca untuk menentukan rasa, kesegaran, kerangupan dan aroma, iaitu empat kriteria utama untuk menilai setiap KFC.

Ditanya apa yang mendorongnya berbuat demikian, dia berkata baginya menikmati ayam KFC adalah satu kemewahan kerana dia berasal dari keluarga bukan berada.

“Oleh itu, tentu sekali sekarang apabila sudah mendapat pendapatan sendiri saya akan terus memburu makanan kegemaran itu.

Jacky mengaku telah mengunjungi ke lebih 1,000 outlet KFC di serata dunia setakat ini.

Penyelidikan Jacky mendapati Mongolia sebagai destinasi KFC terbaik walaupun terpaksa beratur lebih sejam untuk mendapatkan ayam goreng ‘special’ di sana.

“Saya menikmati  KFC di Ulaanbaatar, Mongolia, pada 2013 semasa lawatan kerja ke sana,” kata Jacky.

“Outlet itu baru dibuka, dan terdapat ramai orang beratur jadi kami terpaksa menunggu selama sejam. Tetapi, penantian tersebut benar-benar berbaloi.

“Saya bagi No.1 bagi ayam goreng berdasarkan rasa, kesegaran, kerangupan, aroma, di sana. Sesungguhnya, KFC Mongolia memenuhi setiap syarat TaF-Ca, dan saya benar-benar kagum!” katanya.

Selepas Mongolia, ayam terbaik seterusnya dalam senarai Jacky terletak hampir 7,000km dari Singapura, iaitu di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town, yang menawarkan lebih daripada hidangan kebiasaan KFC.

“Outlet KFC di Afrika Selatan itu menawarkan pemandangan gunung Table Mountain yang sangat cantik, jadi saya kira mereka mempunyai antara lokasi terbaik. Ayam mereka juga memenuhi semua kriteria TaF-Ca, namun masih tidak sehebat KFC Mongolia,” katanya.

Melengkapkan senarai 10 teratas Jacky ialah KFC Sri Lanka, Indonesia, Malaysia, Thailand, Singapura, Chile, Filipina dan Korea Selatan.

Mencuba KFC di serata dunia tidaklah semudah yang disangka. Ini kerana dia sentiasa perlu  meyakinkan isterinya, yang tidak berkongsi minat sama.

“Kadang-kadang sukar untuk mendapatkan persetujuan isteri saya kerana dia berkata, ‘kenapa awak buat ini, kita berada di negara lain, kita harus mencuba sesuatu yang berbeza daripada hanya mendapatkan KFC’,” katanya.

“Apabila saya melihat KFC dari jauh, dia akan berkata, ‘oh tidak, jangan buat lagi!’, tetapi saya akan terus bercakap mengenainya dan kemudian di akhir perjalanan kami, dia akan berkata, ‘OK , jom cuba’.

“Saya tidak sengaja mencari KFC, tetapi jika saya nampak di mana-mana saya akan mahu mencubanya. Saya telah mengembara ke 38 negara tetapi tidak semua negara mempunyai KFC.

“Sebagai contoh, apabila saya melawat Fiji pada tahun 2017, mereka memberitahu saya bahawa KFC telah meninggalkan negara itu, jadi ia tidak selalunya mudah.”

Untuk memastikan ketepatan syarat TaF-Canya, Jacky menggunakan pendekatan konsisten semasa memesan KFC.

“Supaya ranking adil, saya selalu pesan ayam goreng KFC Original, hingga dua atau empat ketul kalau lapar,” katanya.

“Jika ayam tidak memenuhi kriteria pertama, iaitu rasa kerana terlalu masin atau hambar, saya tidak akan makan yang bakinya.”

United Kingdom tidak menarik minat Jacky, dan dia meletakkan KFC yang pernah di dicubanya berhampiran lokasi ikonik kota London, Piccadily Circus sebagai sederhana sahaja.

“Saya masih ingat yang di Sepanyol, ayamnya terlalu kering dan hambar, seperti makan getah.”

Amerika Syarikat, di mana KFC beribu pejabat di Louisville, Kentucky, juga gagal menarik perhatian Jacky, yang meletakkannya di tempat ke-19 di belakang Perancis dan Bolivia.

Walaupun dia sudah mencuba begitu banyak KFC berbanding kebanyakan orang, namun masih terdapat lokasi untuk dicuba memandangkan rangkaian makanan segera itu mempunyai lebih daripada 25,000 cawangan di 145 negara.

-BTS Media

Leave a Comment