Oleh Fetty Rara
GEMPA bumi dengan kekuatan 7.8 magnitud yang menggegarkan sebahagian besar Turki dan dan Syria pada awal Isnin, memusnahkan ratusan bangunan dan membunuh lebih 1,300 orang.
Beratus-ratus masih dipercayai terperangkap di bawah runtuhan, dan jumlah korban dijangka meningkat apabila anggota penyelamat melancarkan operasi mencari di dalam timbunan serpihan di bandar dan pekan di seluruh kawasan terbabit, lapor media.
Di kedua-dua belah sempadan, penduduk tersentak daripada tidur oleh gempa sebelum subuh, dan memaksa mereka meluru keluar mencari kawasan lapang yang amat sejuk dan diliputi salji.
Kebanyakan bangunan dilihat ranap langsung, manakala gegaran susulan terus berlaku, antaranya sekuat gegaran pertama.
Pasukan penyelamat dan penduduk di beberapa bandar terus mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan konkrit dan logam struktur bangunan.
Sebuah hospital di Turki runtuh, sementara di Syria pesakit, termasuk bayi baru lahir, dipindahkan dari fasiliti perubatan.
Di bandar Adana, Turki, seorang pelajar kewartawanan Muhammet Fatih Yavus berkata tiga bangunan berhampiran rumahnya roboh. “Saya tidak terdaya lagi,” kedengaran seorang mangsa yang terselamat berteriak dari bawah runtuhan ketika pekerja penyelamat cuba menghubungi, katanya.
“Oleh kerana usaha mengorek serpihan diteruskan di banyak tapak bangunan di zon terbabit, kami tidak tahu banyak mana jumlah kematian dan kecederaan yang nampaknya akan meningkat,” kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan. “Harapan kami ialah supaya bencana ini berlalu dengan kehilangan nyawa sekecil mungkin.”
Gegaran gempa itu gempa itu dirasakan hingga ke Kaherah, Mesir. Ia berpusat di utara Gaziantep, ibu kota sebuah wilayah Turki.
Di barat laut Syria, gempa tersebut menambah masalah baharu kepada kawasan konflik dikuasai pembangkang berpusat di wilayah Idlib, yang telah dikepung sejak bertahun, dan kerap menjadi sasaran serangan udara tentera Rusia.
Wilayah ini bergantung pada aliran bantuan dari Turki untuk segala-galanya, dari makanan hingga kepada bekalan perubatan.
Pihak Pertahanan Awam Syria yang dikuasai oleh pembangkang menggambarkan keadaan di sana sebagai satu “malapetaka.”
Hingga kini aliran laporan perkembangan masih berterusan dari kawasan bandar dan perkampungan kecil yangmusnah.
-BTS Media