BTS Media

Beku akaun Bersatu agenda tutup kelemahan kerajaan PH-BN – Jasri

KUALA LUMPUR: Pembekuan beberapa akaun milik Bersatu dianggap sebahagian agenda pihak tertentu untuk memberi persepsi buruk kepada PERIKATAN NASIONAL (PN).

Ketua Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, agenda terbabit bagi menutup kelemahan kerajaan PH-BN yang belum berjaya menangani isu-isu membelenggu rakyat, terutama kos sara hidup yang semakin membebankan.

Katanya, melalui strategi itu mereka berharap dapat memberi persepsi buruk kepada PN, terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

“Mereka tahu sokongan dan gelombang kebangkitan rakyat masih bersama PN. Oleh itu pihak terbabit terpaksa mencipta agenda bagi memburukkan PN,” katanya di sini.

Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun milik Bersatu dipercayai ada kaitan dana RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

Jasri yang juga ADUN Kuala Sentul berkata, orang ramai boleh semak laporan audit Bersatu tahun 2020 yang ditularkan.

“Pemerhatian saya terhadap laporan tersebut, tiada unsur rasuah dan duit berbilion ringgit seperti yang didakwa pihak terbabit.

“Semuanya jelas dilaporkan dan diterima baik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Saya mengalu-alukan siasatan SPRM bagi menangani persepsi liar sebelum ini,” katanya.

Beliau turut yakin SPRM sebuah badan yang berintegriti dan menjalankan tugas secara profesional.

Leave a Comment