AKTA Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda bagi melaksanakan hukuman lebih berat bagi kesalahan melibatkan pengubahsuaian enjin motosikal dan paip ekzos daripada RM300 kepada RM10,000.
Di bawah peruntukan baharu akta itu, mereka yang menyertai lumba motosikal haram akan berdepan hukuman penjara jika didapati bersalah di mahkamah.
Pindaan yang dicadangkan itu juga bertujuan untuk menghukum ibu bapa yang tidak bertanggungjawab membenarkan anak mereka mengubah suai motosikal untuk lumba haram, serta pemilik bengkel terbabit.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Isham Ishak berkata cadangan pindaan itu dalam peringkat “amalan kawal selia baik” (GRP), yang melibatkan rundingan dengan pihak berkepentingan.
“Adalah perlu untuk menaikkan denda kerana ramai anak muda secara terang-terangan melanggar undang-undang dan menyertai perlumbaan motosikal pada masa kini.
“Mereka mampu membayar denda RM300 dan sebab itu kami mencadangkan untuk menaikkan penalti kepada RM10,000 bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya lumba haram.
“Tambahan pula, ibu bapa yang membenarkan anak mereka menggunakan motosikal untuk lumba haram dan pemilik bengkel yang mengubah suai motosikal juga akan dikenakan kompaun.
“Selain memberikan penunggang rasa kepuasan diri, lumba haram juga boleh menyebabkan mereka terjerumus dalam aktiviti tidak sihat,” katanya kepada Berita Harian.
Isham menjangkakan cadangan pindaan itu dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga tahun depan.
Kementerian, katanya, mahu pindaan dibawa ke peringkat GRP bagi memastikan undang-undang itu dapat dilaksanakan dengan berkesan selepas mengambil kira pandangan semua pihak.
“Kami tidak mahu membuat pusingan U selepas memperkenalkan peraturan baharu. Kami mahu ia dilaksanakan dengan berkesan dengan sokongan majoriti pemegang kepentingan.”
Isham berkata perlumbaan haram harus ditakrifkan secara lebih luas daripada hanya penyertaan dalam perlumbaan sebegitu.
Ia harus merangkumi mengubah suai paip ekzos dan enjin untuk menunggang secara berbahaya atau melakukan aksi berbahaya di jalan raya, tambahnya.
Beliau berkata penguatkuasaan yang berkesan amat penting bagi mengekang kemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal.
Dalam tempoh 10 tahun lalu, kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal merangkumi 60 peratus daripada jumlah kematian yang berlaku akibat kemalangan jalan raya.
Justeru, Isham berkata, menaikkan denda, ditambah dengan penguatkuasaan yang berkesan, adalah cara terbaik untuk mendidik pengguna jalan raya, terutama pelumba haram.
-BTS Media