DUA anggota tentera kerajaan Yaman terbunuh dalam serangan hendap ke atas konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di timur Yaman, kata PBB pada Sabtu.
Menurut kenyataan Pejabat Migrasi Antarabangsa (IOM) PBB, kedua-dua anggota tentera itu terbunuh ketika mengiringi konvoi yang dalam perjalanan ke bahagian barat dari Seiyun ke Marib.
Tiada kakitangan IOM dalam misi kemanusiaan itu cedera, katanya.
Seorang pemimpin etnik dari kawasan tersebut berkata serangan erlaku berhampiran bandar Al-Abr, di wilayah Hadramout timur Yaman.
Dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan pada Jumaat oleh Lt. Jeneral Saleh Mohammed Timis dari Batalion Tugas Khas Yaman, iaitu cawangan rasmi tentera yang disokong Arab Saudi, dua anggota yang maut dikenal pasti sebagai Salem Saeed Qarwan dan Salem Mubarak Al-Bahri.
Penyerang belum dikenal pasti.
Konflik Yaman bermula pada 2014 apabila puak Houthi yang disokong Iran mengambil alih ibu kota Sanaa. Sebagai tindak balas, pakatan yang diketuai Arab Saudi, termasuk Emiriah Arab Bersatu, telah campur tangan pada 2015 untuk cuba mengembalikan semula kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk berkuasa.
Konflik yang bertukar menjadi perang proksi antara musuh serantau Arab Saudi dan Iran, telah menyebabkan kematian lebih 150,000 orang, dan merupakan antara krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
-BTS Media