BTS Media

Bung Moktar, isteri gagal dalam usaha semak keputusan Mahkamah Sesyen

BUNG Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad hari ini gagal dalam permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Susulan itu, mereka diperintah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Ini berikutan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid yang membenarkan bantahan awal oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How terhadap permohonan pasangan suami isteri itu selaku pemohon.

“Setelah meneliti hujahan pihak-pihak terlibat, saya bersetuju dengan hujahan dikemukakan responden (pendakwaan). Oleh itu, bantahan awal dibenarkan dan notis usul kedua-dua pemohon ditolak,” kata Azhar.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Peguam K. Kumaraendran memberitahu media bahawa Bung Moktar dan isterinya akan merayu terhadap keputusan hari ini.

-BTS Media

Leave a Comment