BTS Media

DAP mohon maaf terhadap Abdul Rahim Thamby Chik kerana fitnah

KES saman fitnah Abdul Rahim Thamby Chik terhadap Khoo Poay Tiong dan DAP selesai, apabila Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan parti itu pada Isnin memohon maaf kepada beliau berhubung penerbitan beberapa artikel mengaitkan beliau dengan beberapa skandal.

Mewakili DAP, Poay Tiong turut membacakan kenyataan permohonan maaf terhadap bekas Ketua Menteri Melaka itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee.

Beliau berkata artikel-artikel tersebut adalah tidak berasas, tidak benar dan adalah fitnah terhadap Abdul Rahim dan keluarganya.

“Kami dengan ini memohon maaf dan menyatakan kekesalan kami atas sebarang kesusahan dan penghinaan kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan keluarganya akibat daripada penerbitan artikel-artikel tersebut.

“Kami telah memadamkan artikel-artikel itu dan berjanji tidak akan menerbitkan sebarang artikel yang mengandungi alegasi-alegasi ini (dakwaan) atau serupa terhadap Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik,” katanya.

Mahkamah merekodkan penghakiman dengan kos RM180,000 dibayar kepada Abdul Rahim.

Peguam, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Abdul Rahim, manakala Ramkarpal Singh mewakili Poay Tiong dan DAP.

Selain Poay Tiong, Abdul Rahim turut menamakan Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika itu, sebagai defendan kedua hingga keempat yang disaman sebagai pemegang jawatan dalam parti.

Pada 17 September 2020, Abdul Rahim mendakwa bahawa pada 16 Disember 2018, Poay Tiong yang ketika itu juga Ahli Parlimen Kota Melaka, telah menulis, menerbit atau menyebabkan untuk diterbitkan artikel-artikel mengandungi perkataan fitnah yang mengaitkan beliau di akaun laman Facebook milik defendan pertama (Poay Tiong), laman sesawang DAP www.dapmalaysia.org dan portal berita www.thestar.com.my.

-BTS Media

Leave a Comment