UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia telah mengemaskinikan garis panduan kod pakaian majlis konvokesyennya, susulan kenyataan awal yang melarang hadirin daripada memakai sari atau ceongsam.
Garis panduan terbaharu menyatakan bahawa graduan dan tetamu kini boleh memakai “baju kebangsaan” dan tidak menyatakan jenis yang dibenarkan atau dilarang.
Ia menyatakan bahawa graduan wanita mesti memakai “baju kebangsaan / baju kurung / lounge suit / pakaian berlengan panjang berserta kain labuh atau berseluar panjang warna gelap sehingga ke paras buku lali yang sopan, bertutup penuh dan bersesuaian untuk protokol majlis rasmi dan istiadat konvokesyen.”
Graduan lelaki pula dibenarkan memakai sebarang bentuk “baju kebangsaan / lounge suit / kemeja lengan panjang berserta tali leher dan seluar panjang warna gelap sehingga ke paras buku lali yang sopan, bertutup penuh dan bersesuaian untuk protokol majlis rasmi dan istiadat konvokesyen”.
Sebelum ini, infografik garis panduan untuk graduan wanita mengingatkan bahawa pemakaian sari dan ceongsam tidak dibenarkan, manakala pakaian tradisional Melayu seperti baju kurung dan baju kebaya dibenarkan.
Pakaian lain yang tidak dibenarkan termasuk blaus tanpa lengan, skirt singkat berbelah, seluar jeans dan kemeja-T.
Infografik itu juga menyatakan bahawa graduan lelaki mesti memakai sama ada lounge suit, baju Melayu bersamping atau baju lengan panjang bertali leher dan berseluar gelap.
Garis panduan itu kemudian telah diubah susulan bantahan meluas di media sosial.
-BTS Media