Oleh Zainal AS Rashid
MALAYSIA merupakan salah satu daripada 19 negara anggota East Asian-Australasian Flyway (EAAF), destinasi burung-burung yang berhijrah untuk berehat, mencari makanan dan tempat berteduh sebelum meneruskan perjalanan ke tempat lain.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Hari Burung Migrasi Sedunia, berkata lebih 50 juta spesies burung migrasi berhijrah melalui EAAF setiap tahun untuk mengelakkan musim sejuk di negara habitat asal mereka.
“Perkongsian Laluan Terbang Asia Timur-Australasia (EAAFP) telah ditubuhkan pada 6 Nov 2006, untuk memberi tumpuan kepada melindungi burung air yang berhijrah, habitat mereka dan mata pencarian orang yang bergantung kepada mereka.
“Teluk Bako Buntal, Sarawak, diiktiraf sebagai Tapak Rangkaian Flyway pertama di Malaysia pada 2013,” katanya.
Selaras dengan tema tahun ini, “Malapkan Lampu Malam untuk Burung”, beliau menyeru orang ramai supaya memalapkan lampu yang tidak diperlukan pada waktu malam bagi mengelakkan gangguan kepada burung yang sedang berhijrah.
Lampu terang boleh mengelirukan dan boleh menyebabkan burung tersebut merempuh bangunan semasa terbang pada waktu malam, serta mengganggu ritma biologi mereka, tambahnya.
Sempena itu semalam, Takiyuddin menyeru semua pihak supaya bergabung tenaga dan mempergiatkan usaha dalam memulihara burung migrasi.
Beliau berkata, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) selaku pusat penyelaras EAAFP di Malaysia juga mengalu-alukan kerajaan negeri mewujudkan tapak persinggahan burung hijrah untuk dicalonkannya sebagai Flyway Network Site di negara ini.
Hari Burung Migrasi Sedunia disambut dua kali setahun pada Sabtu kedua pada Mei dan pada Oktober untuk meningkatkan kesedaran tentang usaha pemuliharaan yang diperlukan untuk burung migrasi.
PERUTUSAN MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI SEMPENA HARI BURUNG HIJRAH SEDUNIA 2022-BTS Media