Oleh Yusoff A. Shariff
NAIB Presiden Bersatu, Radzi Jidin mengesahkan bahawa seramai 12 menteri Kabinet Perikatan Nasional (PN) telah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menolak pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.
Beliau berkata mereka berpendapat bahawa yang perlu diutamakan buat masa ini ialah kebajikan rakyat.
“Saya boleh sahkan memang kami menteri daripada PN sudah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong memohon supaya tidak dilaksanakan PRU dalam masa terdekat.
“Apa yang paling penting kita dalam kerajaan ingin menumpukan kepada perkara berkaitan kebajikan rakyat,” lapor Berita Harian.
Merujuk kepada tugasnya sebagai Menteri Pendidikan, beliau berkata, dalam masa yang masih ada menjelang PRU15, Kementerian Pendidikan perlu mengurus dan menangani banyak perkara membabitkan sektor pendidikan negara.
Sepanjang dua tahun pandemik Covid-19 melanda, sektor pendidikan negara dikatakan telah terjejas teruk.
Beliau berkata kesemua menteri yang menandatangani surat itu memohon baginda tidak memperkenankan PRU15 diadakan tahun ini.
Pada Selasa lepas (4 Okt), Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan meminta menteri PN tegas menolak PRU15 diadakan tahun ini dalam mesyuarat Kabinet.
Beliau yang juga bekas perdana menteri berkata, tidak wajar PRU15 diadakan hujung tahun ini memandangkan monsun timur laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda, terutama di negeri Pantai Timur.
“Rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan.
Penyelesaian kepada masalah ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023,” katanya.
-BTS Media