BTS Media

Di Dubai, golongan miskin dapat roti percuma daripada mesin

GAMBAR ATAS: Gulf News.

 

Oleh Fetty Rara

MEMANDANGKAN kos sara hidup yang sememangnya tinggi semakin meningkat, pengagihan roti segar percuma untuk golongan miskin telah diperkenalkan di Dubai, sebuah bandar raya negara emiriah Teluk di mana yang begitu kaya hidup di antara golongan miskin yang terpaksa hidup dari sehari ke sehari.

Dengan bangunan pencakar langit menjulang tinggi di atas landskap padang pasir, negara yang mengimport hampir semua bekalan makanannya itu, kini terjejas oleh lonjakan harga pengguna. Keadaan menjadi lebih buruk berikutan perang Rusia –Ukraine.

Menyedari bahawa kehidupan mewah golongan kaya raya di negara itu adalah di atas titik peluh dan kudrat gigih golongan buruh, sebanyak 10 mesin layan diri dipasang dua minggu lalu di beberapa pasar raya di sekitar bandar raya, lapor AFP Relaxnews.

Melalui sentuhan skrin komputer, golongan miskin boleh memilih jenis untuk mendapatkan roti untuk sandwic, roti pita atau capati secara percuma.

Pengimbas kad kredit yang dipasang pada mesin itu bukan bertujuan untuk golongan miskin membayar, tetapi bagi golongan kaya berinfak untuk kaedah tersebut.

Menurut angka rasmi dari Pusat Statistik Dubai, indeks harga makanan, yang menjejaki perubahan bulanan dalam kos sekumpulan komoditi makanan, meningkat sebanyak 8.75 peratus pada Julai, manakala kos pengangkutan pula melonjak sebanyak 38 peratus.

Mesin roti itu adalah inisiatif sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum.

Tujuannya ialah supaya menghulurkan bantuan terlebih dahulu kepada golongan miskin sebelum mereka terpaksa menagih bantuan daripada kerajaan, jelas pengarah yayasan, Zeiban Joumaa al-Tamimi.

Emiriah Arab Bersatu mempunyai bilangan penduduk sebanyak hampir 10 juta, 90 peratus terdiri daripada orang asing yang kebanyakannya tenaga buruh dari Asia dan Afrika.

Pada Julau lalu, kerajaan telah mengumumkan penambahan dua kali ganda jumlah bantuan untuk rakyat miskin berpendapatan di bawah 25,000 dirham sebulan (RM31,633) yang dianggap sebagai paras miskin tegar isi rumah.

Bagaimana pun, skim bantuan itu tidak termasuk rakyat asing.

Henley and Partners, sebuah syarikat perunding antarabangsa berpangkalan di London, menganggarkan terdapat lebih daripada 68,000 jutawan dan 13 bilionair di Dubai, justeru menjadikan bandar raya itu 23 terkaya di dunia.

-BTS Media

Leave a Comment