PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perdana Menteri Ismail Sabri tidak memandang pelbagai isu rakyat dan negara sebagai sesuatu yang penting.
Beliau berkata mungkin itu sebab hanya 35 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi beliau pada masa ini – ketika pengurusan ekonomi negara mencatatkan prestasi terburuk dengan hanya 18 peratus rakyat berpuas hati.
Muhyiddin merujuk kepada laporan kajian oleh Merdeka Centre for Opinion Research pada Disember 2021 yang mendapati 12 peratus rakyat mula mengikat perut, dan makan hanya sekali atau dua kali sehari, manakala 12 peratus menangguhkan rawatan perubatan, dan 13 peratus lewat membayar hutang dan bil kerana ketiadaan wang.
Melalui catatan Facebook pada Isnin (19 Sept), beliau turut berkata bahawa kajian oleh badan bukan kerajaan, Mindshare menunjukkan bahawa 61 peratus rakyat Malaysia berada dalam kumpulan terbawah (B60), iaitu dengan pendapatan isi rumah bawah RM5,000 sebulan selepas Covid-19 melanda negara.
Beliau berkata sebanyak 76 peratus rakyat daripada kumpulan itu berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU merujuk kepada kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan ekonomi pasca pandemik yang memberi kesan buruk kepada rakyat.
Sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), beliau telah menyuarakan kebimbangan dan mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan, termasuk diberikan sekali lagi moratorium bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang terkesan.
Muhyiddin berkata banyak lagi cadangan oleh MPN telah dikemukakan bagi mempercepat proses pemulihan ekonomi negara. Ini termasuk pemulihan sektor pelancongan, memudahkan permohonan pinjaman perniagaan, dan menyelesaikan isu tenaga kerja yang meruncing.
Masalah kekurangan tenaga kerja telah memaksa banyak perniagaan dan perusahaan ditutup atau mengecilkan saiz operasi. Isu ini menyebabkan industri menanggung kerugian dan merencatkan usaha pemulihan negara.
Beliau berkata industri kelapa sawit sahaja mengalami kerugian sebanyak kira-kira RM10.25bil pada tahun lalu kerana kekurangan tenaga pekerja.
Menurut Muhyiddin, setiap kali mesyuarat MPN, isu ini dibangkitkan dan dikemukakan kepada kabinet, namun masih belum ada penyelesaian menyeluruh.
Dalam pada itu pula, isu kejatuhan nilai ringgit tidak dipandang serius, katanya.
Beliau berkata Perdana Menteri tidak menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung perkara tersebut, sebaliknya dianggap bukan masalah besar, dan kononnya Malaysia tidak berdepan dengan krisis.
Muhyiddin berkata sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) beliau telah mengarahkan jentera parti supaya terus membantu rakyat yang susah, termasuk mengedarkan bakul makanan, dan menganjurkan Program Jualan Prihatin dengan harga lebih murah.
Beliau berkata dalam keadaan menghimpit sekarang ini, BN pula sedang menekan Perdana Menteri supaya segera membubarkan parlimen agar pilihan raya umum dapat diadakan.
Muhyiddin juga berkata beliau belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri membubarkan parlimen.
Bagaimana pun, beliau terfikir juga jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, maka elok pilihan raya diadakan bagi memberi jalan kepada kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin, dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat.
-BTS Media