BTS Media

Peniaga guna ‘stapler’ pada bungkusan makanan boleh dihukum

 

Oleh Fetty Rara

PENGGUNAAN ‘stapler’ pada bungkusan makanan, termasuk bagi mengikat daun pisang pada kuih-muih dilarang di bawah undang-undang.

Amalan ini masih berleluasa, walaupun terdapat rungutan dan aduan daripada orang ramai kerana ia mendatangkan bahaya.

Bukan setakat itu sahaja, ada juga peniaga yang menggunakan paku untuk mengikat bungkusan.

Dalam satu kenyataan melalui Facebook sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mana-mana peniaga yang menggunakan paku, ‘stapler’ atau benda sama yang berbahaya boleh didakwa di mahkamah.

Beliau berkata jika didapati bersalah, mereka boleh didenda sehingga RM10,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Dr Noor Hisham hukuman lebih berat boleh dikenakan sekiranya barang yang digunakan itu terdapat dalam makanan, kerana menurut Seksyen 13 Akta Makanan 1983 sesiapa didapati menyediakan makanan yang di dalamnya terdapat benda berbahaya boleh didenda, dipenjara atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Beliau menambah bahawa hukuman maksimum di bawah Seksyen 13 ialah denda maksimum RM100,000, penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Oleh yang demikian beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan peniaga agar tidak menggunakan paku, ‘stapler’ atau mana-mana banda serupa yang boleh menyebabkan kecederaan jika termasuk ke dalam makanan, dan ditelan oleh pembeli.

-BTS Media

Leave a Comment