BTS Media

Kes SRC: Cabaran terbesar Najib masuk peringkat akhir Isnin

Oleh Zainal AS Rashid

SELEPAS empat tahun bergelut di mahkamah, bekas perdana menteri Najib Razak dan peguam baharunya akan menghadapi cabaran terbesar mereka apabila kes SRC International Sdn Bhd memasuki peringkat terakhir pada Isnin.

Selepas ini, tidak akan ada lagi rayuan, tiada lagi penangguhan.

Ini adalah ikhtiar terakhir Najib merayu sabitan dan hukumannya selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020, lapor The Star.

Dia telah dikenakan tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna jawatan membabitkan RM42 juta dana SRC.

Selepas sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021, rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan akan didengar dari Isnin hingga 19 Ogos dan kemudian dari 23-26 Ogos.

Najib mungkin sedang mencari strategi pembelaan baharu.

Dia telah cuba mendapatkan bantuan peguam Queen’s Counsel Jonathan Laidlaw London untuk mewakilinya dalam rayuan terakhir ini, tetapi ditolak pada bulan Julai.

Kemudian, dia melantik pula firma guaman baharu, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) untuk mewakilinya selepas melepaskan Shafee & Co.

Rakan kongsi firma tersebut, yang juga peguam, Zaid Ibrahim berkata firma itu telah menasihati Najib supaya “mengetepikan cadangan tertentu yang dikemukakan sebelum ini”, justeru memberi laluan kepada penetapan semula hujah pembelaan.

Dalam satu kenyataan semalam (Jumaat 12 Ogos), beliau berkata mereka semata-mata menumpu kepada prinsip perlembagaan, kedaulatan undang-undang, prinsip keadilan asasi serta isu undang-undang dan fakta khusus dalam permohonan perbicaraan semula dan rayuan yang sewajarnya.

Pendekatan sebelum ini, yang menyaksikan beberapa perbalahan terhadap hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan), nampaknya telah diketepikan, apabila Najib menarik balik tuntutan rasuahnya terhadap hakim itu.

Walaupun sebelum ini peguam baharu berkata akan menarik diri jika penangguhan tidak diberikan, kedua-dua pihak dijangka menampilkan usaha terbaik dalam hujah masing-masing tentang mengapa Najib patut atau tidak patut dibebaskan atau jika dia perlu mendapatkan perbicaraan semula.

Najib telah memfailkan 94 alasan mengapa Mahkamah Rayuan dikatakan tersilap dalam keputusan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi.

Kemungkinan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sendiri akan mengetuai panel tersebut kerana beliau sebelum ini mengetuai rayuan lima orang bagi permohonan interlokutori dalam rayuan itu.

Difahamkan, semasa pengurusan kes pada 10 Ogos, perkara pertama yang telah ditetapkan pada hari itu ialah permohonan Najib meminda usul yang difailkannya untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes berkenaan. Ini akan diikuti dengan pendengaran usul itu sendiri.

Menurut sumber, jika usul itu ditolak, mahkamah akan meneruskan rayuan utama.

Selepas kesimpulan hujah bagi usul bagi mendapatkan bukti baharu, pasukan Najib akan sekali lagi membuat permohonan lisan di hadapan mahkamah untuk menangguhkan rayuan utama.

Permohonan mereka melalui surat kepada mahkamah untuk menangguhkan rayuan utama telah ditolak bulan lalu.

Bagaimanapun, jika ia ditolak lagi, semua pihak tidak mempunyai pilihan selain meneruskan rayuan.

-BTS Media

Leave a Comment