BERSATU bukan parti pengkhianat seperti dilabelkan sesetengah pihak, sebaliknya keadaan dalaman Pakatan Harapan yang mendorong parti itu berundur daripada pakatan berkenaan.
Ketua Penerangan Armada BERSATU Malaysia, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, fakta ini sering dilupakan pengkritik atau diketepikan apabila melabelkan BERSATU parti pengkhianat.
Menurutnya, kedudukan BERSATU di dalam PH sangat genting, seolah-olah dianaktirikan oleh parti-parti komponen lain dalam pakatan berkenaan.
Katanya, ia diburukkan lagi oleh ego dan ideologi yang berbeza, biarpun bersama-sama mendapat mandat dalam melaksanakan dasar negara.
“Ketika itu, Tun Dr. Mahathir telah mengarahkan Muhyiddin untuk membangunkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang fokusnya adalah untuk membantu golongan yang berhak mendapat bantuan secara saksama.
“Namun, sayangnya ramai pihak dalam PH tidak setuju dan menolak dasar tersebut malah menyamakannya dengan Dasar Ekonomi Baharu 2.0 tanpa kita laksanakan dengan baik pun lagi,” katanya ketika dihubungi portal SatuBerita baru-baru ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas komen penganalisis politik, Profesor Zainul Fithri Othman dalam artikel ‘Kematian BERSATU semakin terserlah’ yang mengunjurkan bahawa BERSATU akan terkubur apabila parti itu dilabel sebagai parti pengkhianat.
Menurut Mohd Ashraf, dalam keadaan PH yang sedang bergolak dengan ideologi berbeza, penyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim pula tidak berhenti mendesak Tun Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada beliau.
“Yang satu pihak lagi tidak henti-henti meratib bila Anwar mahu jadi PM. Namun, bila ramai yang tidak setuju dengan dasar WKB 2030 itu, apabila Anwar jadi PM dia akan teruskan dasar itu? Mungkin itu kerisauan Tun Mahathir dan Muhyiddin ketika itu?”
Malah menurut beliau, krisis PH pada ketika itu semakin membara apabila berdepan defisit kepercayaan dalam kalangan pengundi Melayu, sekali gus mendorong kepada kejatuhan pakatan itu.
“Data daripada pusat kajian ketika itu menunjukan bahawa sokongan orang Melayu kepada PH sudah jatuh, malah terhadap Tun Mahathir sendiri juga telah merudum ekoran isu-isu besar pada 2018 yang menyakitkan hati orang Melayu, seperti ICERD, kematian anggota bomba Muhammad Adib dan sebagainya.
“Mereka masih mahu keras kepala dalam keadaan PH sudah hilang kepercayaan orang Melayu,” ujarnya.
Susulan itu, Mohd Ashraf menasihati pihak di luar sana agar tidak sewenang-wenangnya meletakkan label ‘pengkhianat’ ke atas parti BERSATU tanpa menyelidik permasalahan dan isu dalaman yang dihadapi parti berkenaan ketika bersama PH.
Mengulas kenyataan BERSATU disifatkan parti yang akan terkubur, Mohd Ashraf menegaskan andaian dan analisis yang dibuat itu tidak semestinya menentukan masa hadapan dan kelangsungan sesebuah parti politik.
“Sama seperti andaian orang ramai yang disokong oleh data mengatakan UMNO menang PRU-14, tapi lihat kesudahannya bagaimana? Jadi tidak semestinya analisis itu mencerminkan keputusan,” katanya.