Oleh Yusoff A. Shariff
HAMPIR 50,000 kontraktor Melayu terpaksa menutup perniagaan mereka kerana tidak dapat memperbaharui lesen selepas terjejas dengan kenaikan ketara harga bahan binaan sejak 2018.
Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (MMCA) Mohd Rosdi Ab Aziz berkata pandemik Covid-19 turut menjejaskan kebanyakan kontraktor dari kelas G1 hingga G4.
Beliau berkata, antara punca mereka tidak dapat memperbaharui lesen adalah kerana tidak cukup dana untuk digunakan sebagai modal mengikut kelas kontraktor masing-masing.
Mohd Rosdi memberitahu media selepas Mesyuarat Agung Tahunan MMCA di Kota Baharu pada Rabu (29 Jun) bahawa kekurangan projek juga menyebabkan mereka tidak mampu menanggung keseluruhan kos yang diperlukan.
Sehubungan itu, Mohd Rosdi yang juga Presiden MMCA Kelantan berharap kerajaan memantau keadaan dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi kontraktor Melayu.
Beliau berkata, kebanyakan kontraktor ini tidak mampu untuk memasuki bidang lain kerana kekangan kewangan dan sebahagian daripada mereka juga berhutang selepas mengambl pinjaman bank.
-BTS Media