Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahrir, memberi kenyataan “tidak tepat sama sekali” berhubung pertemuan Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan pesuruhjaya negeri parti itu, Ahmad Yunus Hairi, mengenai perayaan Bon Odori, kata setiausaha sulit baginda, Munir Bani.
Munir membayangkan bahawa gambaran Roslan mengenai keadaan yang berlaku dalam pertemuan antara Sultan Selangor dan Yunus pada Selasa lalu, sebagai “tersasar sama sekali”.
Sebuah akhbar sebelum ini memetik Roslan sebagai berkata: “Baginda ingin tahu pendirian kami berhubung perayaan Bon Odori. Baginda memberi pandangan dan kami juga sampaikan pandangan kepada baginda bahawa kami menghormati pendirian baginda.”
Munir menyifatkan kenyataan Roslan mengenai pertemuan itu sebagai “tidak sebenarnya berlaku”.
“Adalah ditegaskan bahawa kenyataan ini adalah tidak tepat sama sekali dan tidak sebenarnya berlaku ketika Pesuruhjaya PAS Selangor, Ahmad Yunus Hairi menghadap Duli Yang Maha Sultan Selangor pada tarikh berkenaan,” kata Munir dalam kenyataan.
Munir menjelaskan bahawa pada pertemuan dengan Yunus itu, Sultan Sharafuddin menyatakan pendiriannya tidak menyekat perayaan Bon Odori di Selangor “yang pada pandangan baginda hanya berunsur kebudayaan semata-mata”.
“Baginda juga tidak menghalang mana-mana orang lslam untuk menghadirinya sehinggalah satu kajian mendalam dilakukan terhadap festival berkenaan, sama ada ia berunsur keagamaan atau kebudayaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat Islam,” kata Munir.
Semalam Yunus, selaku pesuruhjaya PAS Selangor, tampil mengesahkan bahawa pada pertemuan itu, beliau “hanya mendengar titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan tidak ada sebarang perbincangan antara saya dengan Tuanku.”
Kenyataan itu sekali gus menempelak gambaran yang dinyatakan oleh Roslan.
Munir berkata, selain Yunus, turut hadir pada sesi menghadap di Istana Bukit Kayangan Shah Alam itu adalah Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Abdul Aziz Mohd Yusof.
Pertemuan itu menyusul kenyataan Yunus pada 10 Jun lalu yang menggesa umat Islam tidak mengambil bahagian dalam perayaan Bon Odori.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, yang juga naib presiden PAS, menasihati umat Islam supaya tidak menghadiri perayaan Bon Odori kerana mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati perayaan itu mempunyai unsur keagamaan lain.
Perayaan tahunan itu yang dianjurkan oleh masyarakat Jepun di Malaysia diadakan semula selepas berehat selama dua tahun disebabkan wabak Covid-19.
Ia akan diadakan di Shah Alam pada 16 Julai dan Pulau Pinang pada 30 Julai.