BTS Media

Sultan Johor ingatkan Putrajaya jangan buat keputusan sesuka hati

 

Oleh Fetty Rara

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu Kerajaan Persekutuan menghormati Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani pada 1948 dan 1957 dan tidak melanggarnya sesuka hati.

Baginda melahirkan rasa kecewa dengan beberapa tindakan kerajaan persekutuan, di mana beberapa keputusan seolah-olah mengabaikan negeri itu, dan seterusnya bertitah supaya semua pihak mengingati kuasa negeri-negeri yang termaktub dalam perjanjian itu.

Sultan Johor turut menyatakan rasa kecewa dengan keputusan kerajaan pusat membatalkan rayuan tuntutan Pulau Batu Puteh pada 2018.

Menurut baginda perdana menteri ketika itu telah membuat keputusan sendiri dengan mengarahkan Peguam Negara berehat apabila Kabinet belum dibentuk.

Selain itu Sultan Ibrahim berkata baginda juga tidak dirujuk langsung kerana keputusan itu melibatkan tanah dan kedaulatan negeri.

Baginda mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar kuasa negeri.

“Jika kuasa negeri telah dicabuli maka perjanjian itu boleh dianggap terbatal dengan sendirinya, dan Johor bukan lagi sebahagian daripada Persekutuan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan mesyuarat Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Johor Baru pada Khamis (16 Jun).

Baginda turut melahirkan rasa sedih kerana pihak berkuasa Persekutuan tidak menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur awam milik persekutuan di negeri Johor dengan baik, seperti Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar.

Pusat Transformasi Bandar di Johor Baru juga memerlukan peningkatan tahap perkhidmatan dan keselesaannya,” tambah baginda.

Sultan Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan segera menunaikan janji menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan kepada enam lorong, Lebuhraya Senai-Desaru kepada empat lorong dan jalan persekutuan seperti laluan Johor Baru-Mersing, yang berlubang dan mengundang bahaya kepada pengguna.

Baginda berkata Johor dilayan seperti anak tiri walaupun negeri itu antara penyumbang utama ekonomi negara, dan jika perkara ini berterusan lebih baik Johor berdiri sendiri.

-BTS Media

Leave a Comment