BTS Media

Pelancong mula masuk ke negara, tapi hotel tak cukup pekerja

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Oleh Fetty Rara

Walaupun sektor perhotelan menyaksikan pertumbuhan menggalakkan berikutan pembukaan semula sempadan negara, namun isu yang tegar membelenggu ialah kekurangan pekerja mahir.

Menurut industri berkenaan, keadaan akan menjadi lebih serius menjelang akhir tahun ini.

Seiring kunjungan pelancong luar dan tempatan ke destinasi popular, seperti Pulau Pinang, Langkawi, Port Dickson, Melaka dan Ipoh, rata-rata pengusaha hotel berasa semakin terdesak kerana kekurangan tenaga pekerja, lapor The Star.

Menurut Tourism Malaysia, pelancongan merupakan antara penyumbang hasil terbesar Malaysia. Sektor tersebut menyumbang RM86.14 bilion kepada ekonomi negara dengan ketibaan 26.1 juta pelancong pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Di Pulau Pinang, hampir semua hotel menawarkan jawatan kosong menerusi media sosial dan portal pekerjaan setiap minggu, dengan lebih daripada 10 jawatan tersedia untuk diisi pada setiap satu masa.

Jawatan yang diperlukan termasuk pengurus perkhidmatan tetamu, jurutera dan juruteknik.

Seorang pengarah resort lima bintang berkata ramai banyak pekerjanya berhenti antara 2020 dan tahun lalu, sama ada melalui skim pemberhentian sukarela, disebabkan potongan gaji melampau, atau cuti wajib tanpa gaji semasa perintah kawalan pergerakan.

Dia berkata setelah keadaan pulih dan sektor perhotelan dibenarkan beroperasi sepenuhnya, mereka enggan kembali bekerja kerana dikatakan telah mendapat peluang pekerjaan lain.

Buat masa sekarang dia berkata hampir semua hotel di seluruh negara berdepan dengan kekurangan pekerja menjelang tarikh ketibaan lebih ramai pelancong pada November.

Menurut pengurus itu, penginap jangka panjang dari Eropah dan Timur Tengah akan mula buat tempahan bermula dari November, dan semua hotel perlu bersedia dengan pekerja yang mencukupi untuk menawarkan perkhidmatan dan layanan yang sempurna.

Dalam menghadapi dilema ini, sektor tersebut terpaksa bersaing dengan sektor perladangan dan pembinaan yang juga memerlukan tenaga pekerja, tetapi tidak semestinya pekerja mahir seperti perhotelan.

-BTS Media

Leave a Comment