Hartawan Vincent Tan tampil membantu pasukan karate persendirian yang digelar “Karate Kids” sejak kejayaan luar biasa mereka di kejohanan antarabangsa baru-baru ini.
Pengasas Berjaya Corporation Berhad itu menyumbang RM20,000 menerusi organisasi amal peribadinya, Better Malaysia Foundation, supaya pasukan itu dapat menyelesaikan hutang dan bil tertunggaknya.
“Kejayaan besar mereka mesti diiktiraf oleh semua kerana ia bukan pencapaian biasa,” kata Tan kepada FMT.
“Perkara paling penting sekarang adalah memastikan hutang mereka diselesaikan kerana itu akan membebaskan mereka untuk merancang perjalanan seterusnya.”
Bertanding di Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa Perancis pada 8 Mei, pasukan sembilan anggota daripada Persatuan Okinawan Shorin-Ryu Sei-bu-kan Karate Do Antarabangsa Malaysia (IOSSKAM) itu membawa pulang sebuah pingat setiap seorang, termasuk pingat emas dipercayai pertama negara pada kejohanan global.
Memandangkan kumpulan itu tidak berkait dengan Persekutuan Karate Malaysia, iaitu badan induk sukan itu di negara ini, sukar bagi mereka untuk mengumpul dana. Perjalanan mereka ke Paris dibuat atas kredit daripada agensi pelancongan tempatan.
Tan berkata, beliau berharap untuk melihat lebih banyak usaha dibuat bagi membantu atlet Malaysia. Tiada seorang pun rakyat Malaysia yang membawa penghormatan kepada negara harus diabaikan, tambahnya.
Jurucakap pasukan itu, Thivashini Krish Dhev Nair mengucapkan terima kasih kepada Tan kerana membantu meringankan beban kewangan mereka.
Beliau berkata, hutang pasukan itu tidak lama lagi akan diselesaikan dan tumpuan mereka kini adalah latihan untuk kejohanan di Amerika Syarikat dan Itali.
Pasukan tersebut turut menerima RM27,000 daripada kumpulan dan individu selepas FMT melaporkan keperluan mereka untuk mengumpul dana.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Better Malaysia Foundation dan penderma lain yang membantu pasukan kami,” katanya.
Tan sebelum ini memberikan USD52,000 dalam bentuk sokongan kewangan kepada atlet Malaysia yang berpangkalan di AS, Shereen Vallabouy atas usahanya mengejar kecemerlangan akademik dan sukan.
Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/05/19/vincent-tan-bantu-karate-kids/