GAMBAR ATAS: LA Times.
Oleh Fetty Rara
Wartawan akhbar Los Angeles Times (LA Times) kelahiran Malaysia, Marcus Yam dipilih bagi Hadiah Pulitzer untuk kategori fotografi berita terkini.
Dia memenangi anugerah yang diidam-idamkan oleh wartawan dunia itu melalui paparan berani dan menusuk jiwa semasa kejatuhan bandar raya Kabul, Afghanistan ke tangan pihak Taliban.
Menurut LATimes semalam (Isnin 9 Mei),Yam yang disifatkan sebagai wartawan dengan keberanian “pahlawan” dan berhati penyair telah menyampaikan kepada dunia luar apa yang berlaku di depan matanya sewaktu puak Taliban mengusir kerajaan Afghanistan dan mengambil alih pemerintahan.
Akhbar itu menambah bahawa Yam dapat mengambil gambar itu walaupun telah dikasari oleh pejuang Taliban, dan seterusnya berikhtiar menghantar keluar foto-foto tersebut dari medan perang walaupun berdepan dengan kepayahan mendapatkan talian Internet.
Impak gambar harga nyawa manusia diambang lakaran sejarah baharu di negara bergelumang dalam konflik dan peperangan
Panel Hadiah Pulitzer berkata kualiti dan impak gambar yang merekodkan harga nyawa manusia diambang lakaran sejarah baharu di negara yang bergelumang dalam konflik dan peperangan sejak berdekad lamanya itu telah menentukan pemilihannya sebagai pemenang.
Yam berkongsi anugerah berkenaan bersama empat lagi juru foto berita dari agensi foto Getty Images, yang turut memenangi Hadiah Pulitzer untuk rakaman foto komprehensif serangan aktivis ke atas Bangunan Capitol di Washington DC, Amerika Syarikat.
Hadiah Pulitzer ini ialah yang ke-49 di menangi oleh wartawan LA Times sejak 1942, termasuk enam pingat emas untuk perkhidmatan awam.
Wartawan berusia 38 tahun yang dibesarkan di Kuala Lumpur itu memilih pekerjaan sebagai juru foto berita setelah berhenti bekerja dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa, dan kemudian menyertai LA Times pada 2014.
-BTS Media