Tindakan nekad seorang bapa menggendong anak lelakinya menggunakan kain pelikat, sambil menunggang motosikal ketika dalam perjalanan pulang beraya dari Batu Gajah, Perak ke Kuala Lumpur, mendapat perhatian polis peronda lebuh raya.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik polis, kejadian tersebut disedari ketika peronda lebuh raya Zon Tengah A1 melakukan rutin rondaan seperti biasa oleh peronda Rawang/Latar.
“Semasa penugasan dijalankan sekitar 4 petang, di KM435.1 arah Selatan, mereka ternampak seorang penunggang motosikal dalam keadaan menggendong anak dengan kain pelikat diikat pada tubuh badan kanak-kanak tersebut.
“Melihat situasi itu, mereka berhenti dan bertanyakan apa yang boleh dibantu dan semakan mendapati kanak-kanak lelaki yang dikendong itu adalah anak kandungnya berumur sembilan tahun,” katanya.
Dua beranak itu difahamkan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur selepas pulang beraya di Batu Gajah, Perak.
Atas faktor keselamatan, unit peronda Rawang/Latar telah menghubungi pegawai turus lebuh raya Zon Tengah A bagi membawa dan menghantar kanak-kanak lelaki tersebut sambil diiringi ayahnya ke kediaman mereka di Flat Selayang, Jalan Chow Kit 4, Kuala Lumpur.
JSPT Bukit Aman dalam hantaran berkenaan turut menasihatkan pengguna lebuh raya lebih peka dengan soal keselamatan dan berhati-hati semasa pemanduan pada musim perayaan.