GAMBAR ATAS: Cara lebih mudah pasang pelita minyak tanah di halaman dengan menyangkutkannya pada paku di batang kayu. Tidak perlu sabut/Foto: Aziz A. Shariff.
Oleh Ahmad Abd Hamid
Dalam kegirangan ramai menyambut Hari Raya Aidilfitridalam pelukan desa dan keluarga tercinta setelah dua tahun terhalang gara-gara pandemik Covid-19, terimbau pula dalam diri ini kenangan lebih enam dekad lalu ketika penulis masih di sekolah rendah.
Beberapa hari sebelum Syawal tiba, menjadi tugas penulis dan abang membersihkan halaman dan sekeliling rumah agar enak dipandang mata. Termasuk dalam skop tugas ini ialah memperindah serta menyerikan halaman rumah pada malam raya.
Di satu sudut bawah rumah, abang penulis memotong batang buluh kecil pada ukuran lebih kurang satu meter setengah panjang. Buluh ini ukuran lilitannya lebih kurang syiling 50 sen lama, atau besar sedikit. Biasanya dalam 10 hingga 15 batang keratan buluh dipotong.
Buluh didapatkan dari kebun tidak jauh dari rumah penulis. Kena hati-hati kerana kalau terkena miang, bergaru tak berhenti. Juga banyak ranting dan cabangnya yang boleh sahaja mengguris badan andai leka.
Kerana ia hanya buluh bersaiz kecil, bukanlah masalah besar untuk memotong dan membawa balik. Kami berdua boleh melaksanakan kerja tersebut tanpa bantuan ayah.
Setelah buluh dipotong, abang akan menajamkan sedikit bahagian atas dan bawah buluh. Ada sebab kenapa ia perlu diruncingkan.
Sementara abang memotong buluh, penulis pula sibuk meleraikan sabut kelapa menjadi berkeping-keping. Sabut kelapa memang banyak di sekeliling rumah kerana memang rumah penulis di Kampung Tebuk Mukmin, Bagan Datuk, Perak dikelilingi pokok kelapa.
Setiap kali kelapa tua dikait, biasanya dua bulan sekali, kelapa akan dikopek menggunakan alat dipanggil ‘cop’. Hanya yang mahir sahaja melakukan kerja ini kerana mata cop tajam. Jika tidak berhati-hati boleh memudaratkan tubuh.
Sabut kelapa dilonggokkan pada tempat tertentu oleh tukang kopek. Biasanya sabut daripada setiap biji kelapa ini berangkai tidak putus. Inilah yang penulis ambil, ceraikan dan kemudian buang hati (isi) sabut. Hanya ditinggalkan sedikit melekat bersama kulit.
Setelah siap buluh dipotong, diruncing, dan sabut yang diperlukan tersedia, bermulalah misi penulis dan abang. Tugas kami ialah menyediakan batang untuk menyangkut pelita minyak tanah di sekeliling halaman sebagai penyeri beberapa hari sebelum dan selepas raya.
Abang memacakkan buluh ke tanah. Inilah gunanya buluh diruncingkan tadi, agar mudah ditekan masuk ke dalam tanah. Buluh ini dicacakkan pada jarak dua meter antara satu lain. Selepas itu tugas penulis mencucuk keping sabut ke atas buluh yang siap diruncingkan.
Sabut yang lembut mudah tertusuk pada runcing dan melekat kuat. Ia menjadi bekas pelita minyak tanah. Pelita diletakkan di atas sabut. Usah bimbang jatuh kerana memang terletak selesa dalam lekuk sabut.
Pelita tidak perlu beli baharu kerana yang lama masih elok. Jika perlu diganti pun mungkin sumbunya. Sumbu terbaik adalah daripada tali guni. Selepas maghrib, pelita diisi minyak tanah dan dinyalakan.
Nampak cantik cahaya api pelita berlenggok macam menari-nari ditiup angin menerangi seluruh halaman.
Setelah semua lampu dinyalakan, memang nampak cantik cahaya api pelita berlenggok macam menari-nari ditiup angin menerangi seluruh halaman. Maklumlah di kampung tidak ada kerlipan lampu kelap kelip atau ‘running lights’. Namun cahaya pelita minyak tanah sudah cukup untuk menyerikan suasana Aidilfitri.
Suasana lebih meriah kerana rumah jiran sekeliling juga memasang lampu yang sama hingga satu kampung terang benderang, menceriakan kanak-kanak mengambil peluang bermain pada waktu malam. Pelita dibiarkan terpasang sampai esok pagi. Ada yang terpadam sendiri apabila minyak habis.
Pada masa ini, lampu gaslin juga dibersihkan. Cerminnya dicuci dan sumbunya diganti. Mungkin orang sekarang tidak mengenali lampu ini. Ia adalah ‘lampu elektrik’ bagi penduduk kampung ketika itu.
Untuk memasang lampu ini, masukkan dahulu minyak tanah di dalam ‘perut’ lampu. Minyak tanah dijual di kedai runcit dengan harga dua kupang (20 sen) sebotol, berukuran botol kicap besar (sekati).
Selepas itu, masukkan sedikit spirit ke dalam bekas di bawah sumbu dan nyalakan api. Sumbunya jenis daripada kain nilon. Jika sumbu baharu, sebelum dibakar ia terjuntai, dan selepas menyala ia menjadi keras seperti mentol tergantung. Jika sumbu masih elok tidak perlu diganti.
Apabila api bakaran minyak spirit hampir habis, ‘gaslin’ perlu dipam lagi. Udara yang masuk melalui paip daripada kepala gaslin menjadikan sumbu perlahan-lahan menyala semakin cerah.
Namun dalam proses memasang dan mengepam lampu, mesti berhati-hati dan tidak terlalu kasar. Ini kerana mentol lampu tersebut sangat sensitif dan mudah pecah. Jika terlalu kuat hingga badan lampu bergegar, mentol boleh pecah dan berkecai menjadi debu. Kenalah pasang sumbu baharu.
Cahaya lampu gaslin memang terang, bukan sahaja memenuhi rumah malah cahayanya melimpah menerangi seluruh halaman. Apabila cahaya malap, bermakna udara kurang, maka perlu dipam semula, atau ditambah minyak tanah.
Lampu gaslin dianggap harta istimewa keluarga penulis dan disimpan baik apabila tidak digunakan. Sepanjang ingatan penulis, hanya dua kali dalam setahun lampu ini dipasang, iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Pada waktu lain lampu gaslin amat jarang dipasang, dan kami hanya bertemankan lampu minyak tanah di dalam rumah pada sebelah malam. Jika pun dipasang pada waktu lain, ia hanya apabila tetamu istimewa datang, seperti adik-beradik, emak dan ayah dari jauh.
Rindu sekali suasana indah ‘bermandi’ cahaya lampu gaslin dan pelita minyak tanah di desa pada malam Ramadan dan Syawal. Namun suasana sudah berubah. Di kampung sekarang sudah ada bekalan elektrik.
Kerana itu lampu gaslin dan lampu minyak tanah pupus ditelan zaman. Penduduk lebih suka memasang lampu berkelip-kelip di sekeliling rumah. Namun masih ada yang memasang pelita minyak tanah untuk mengembalikan nostalgia ‘keaslian’ malam raya.
-BTS Media