GAMBAR ATAS: Hamzah Zainuddin di NATSEC 2022./ Foto: facebook Hamzah Zainuddin.
Oleh Zainal AS Rashid
KUALA LUMPUR: Keselamatan siber kekal sebagai salah satu kebimbangan utama Malaysia berikutan peningkatan drastik jenayah dalam talian yang dilaporkan di negara ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata jumlah kes yang dicatat berkaitan buli siber, penipuan, pencerobohan, pancingan data dan penipuan e-mel telah meningkat hampir dua kali ganda.
Beliau berkata pada 2019, kira-kira 13,000 kes jenayah siber dilaporkan melibatkan jumlah kerugian RM539 juta, dan jumlah itu meningkat kepada kira-kira 17,000 kes pada 2020.
Tahun lepas, jumlah kes meningkat kepada lebih 20,000, dengan jumlah kerugian bernilai RM560 juta, manakala sehingga Februari 2022, jumlah kes dilaporkan ialah sebanyak 3,273 melibatkan kerugian RM114 juta.
Menurut Hamzah terdapat banyak ancaman semasa dan baharu muncul melibatkan teknologi terkini yang tidak pernah wujud sebelum ini.
Pada masa yang sama, landskap keselamatan negara hari ini berubah dengan lebih pantas berbanding sebelum ini.
Oleh yang demikian, beliau berkata usaha menjejak trend perubahan ini merupakan satu  cabaran pertahanan dan keselamatan negara terbesar serantau.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada pelancaran pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam (Ahad 27 Mac).
-BTS Media