GAMBAR ATAS: Malaysiakini
Oleh Yusoff A. Shariff
Pentadbiran Sabah sekarang akan dikenali sebagai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-Barisan).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau bersetuju dengan cadangan Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin supaya “Barisan Nasional” dimasukkan bagi menggambarkan komposisi kerajaan negeri.
Beliau yang menyatakan demikian hari ini (Ahad 27 Mac) di Tuaran, Sabah menegaskan bahawa ini kerana walaupun Barisan merupakan gabungan lain, namun persetujuan telah dibuat bagi kerjasama sebelum pilihan raya negeri pada September 2020 setelah pihak beliau menang dan membentuk kerajaan.
GRS, yang didaftarkan sebagai gabungan rasmi awal bulan ini, terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Bersatu Sabah (PBS), Sabah STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Sebelum pilihan raya Sabah, parti Barisan bersama Perikatan Nasional Sabah (Sabah Bersatu, Sabah STAR, SAPP, PAS) dan PBS membentuk gabungan tidak rasmi sembilan parti yang menggantikan kerajaan negeri pimpinan Warisan.
Susulan pendaftaran GRS awal bulan ini, empat parti menjadi sebahagian daripada gabungan berasaskan negeri itu.
-BTS Media