BTS Media

‘Hijrah’ kisah kejayaan anak kampung robohkan benteng kemiskinan

 

Oleh Ahmad Abd Hamid

‘JIKA tidak dipecah ruyung di mana kan dapat sagunya.’ Kata-kata hikmat ini menjadi pendorong dan pembakar semangat seorang anak kampung pedalaman melalui pahit getir hidup sehingga berjaya.

Suka duka melalui ranjau kehidupan ini dicatatkan oleh Sanusi Samid, 77, dalam memoirnya bertajuk ‘Hijrah’. Buku setebal 504 muka surat ini mengandungi 16 bab atau topik utama, diserikan dengan banyak gambar menggamit memori. Setiap bab mengandungi beberapa topik kecil atau sub-topics memperincikan topik utama.

Topik utama merangkumi kisah kampung kelahiran iaitu Tebuk Mukmin, Bagan Datuk, Perak; kisah keluarga dan adik beradik tersayang serta saudara mara, kisah bersekolah rendah di kampung dan memasuki sekolah menengah di bandar, memasuki menara gading dan kerjaya sebagai guru.

 

Bertepatan dengan tajuk Hijrah, melalui buku ini, bekas guru dan pegawai tadbir itu melakarkan perjalanan hidup diri dan keluarga berhijrah daripada kesusahan kepada kehidupan lebih selesa.

Rakaman kehidupan dari era kanak-kanak dalam keluarga serba kekurangan bersama ibu bapa dan adik beradik, semua dipaparkan. Walau kehidupan sukar, ia dilalui penuh tabah dengan azam sinar akan menelan kabus.

Menurut Sanusi, Hijrah merakamkan perjalanan dirinya, seorang anak kampung pedalaman tersorok mencari kebahagiaan demi keluarga tercinta serta membebaskan mereka daripada cengkaman kemiskinan dan ketandusan pelajaran. Dua aspek inilah yang membelenggu masyarakat desa ketika itu.

Keluarga Sanusi sendiri susah. Makan bubur nasi sudah biasa seandainya beras tidak cukup untuk dimasak. Kadang-kadang diganti dengan ubi atau keledek rebus.

Sarapan pagi selalunya hanya sekadar pisang abu atau pisang nangka rebus, atau lempeng tawar atau getuk ubi. Air minum hanyalah teh Ceylon, yang kadang kala dalam bungkusan teh itu tangkai teh pun ada sekali.

Ayahnya buruh ‘penghimpun’ buah kelapa di kebun milik orang kampung. Ibu suri rumah. Kepada yang tidak tahu, penghimpun kelapa bertugas menghimpun kelapa yang gugur setelah dikait oleh tukang kait dari pokok tinggi. Penghimpun mengumpulkan kelapa dalam beberapa longgok.

Kelapa longgok ini kemudian dikupas oleh ‘tukang kopek’ dan dibelah. Kelapa basah diangkut ke rumah salai untuk disalai menjadi kelapa kering (copra) dan dijual di pasaran.

Ayah Sanusi, iaitu Samid@Abdul Hamid dan ibunya, Sumiah Haji Omar, tidak tahu membaca dan menulis. Kakak dan abangnya ada yang tidak bersekolah, atau sekadar bersekolah rendah atau sekolah agama rakyat, tanpa berpeluang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.

Abdul Halin (adik)

Kesusahan keluarga memberi keinsafan kepada Sanusi untuk memperbaiki kehidupan. Ayah dan ibu, walau buta huruf, bersemangat untuk menyaksikan ada di antara anak yang berjaya.

Bibit kejayaan bermula apabila Sanusi berjaya menyambung pelajaran di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, satu kejayaan besar bagi seorang anak kampung dapat belajar ke sekolah berasrama penuh.

Setelah tamat Tingkatan Lima, beliau berada di persimpangan. Di sebelah tangan ada tawaran memasuki Maktab Perguruan Bahasa (LI) di Lembah Pantai. Di sebelah lagi tawaran memasuki Tingkatan Enam di Sekolah Sultan Abu Bakar, Kuantan.

Sanusi memilih ke Tingkatan Enam. Beliau lulus peperiksaan Higher School Certificate (HSC) dan berjaya memasuki Universiti Malaya pada 1964, anak kampung pertama masuk universiti.

Setelah menamatkan ijazah pertama dalam bidang Sejarah serta Diploma Pendidikan, beliau menjadi guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cator Avenue di Ipoh pada 1968 yang kemudian berpindah ke bangunan baharu di Jalan Dairy dengan nama Sekolah Raja Chulan (SRC) pada 1969.

SUMIAH HAJI OMAR (ibu).

Selepas tiga tahun, beliau meninggalkan profesion perguruan dengan memulakan perkhidmatan di Pesuruhjaya Ibu Kota pada 1971, kemudiannya dikenali sebagai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau yang sentiasa rajin menimba ilmu, juga memiliki ijazah undang-undang (Kepujian) dari University of Wolherhampton, England dan diploma dalam beberapa bidang. Sanusi bersara pada 1999 dengan jawatan pengarah di salah sebuah jabatan DBKL.

Kejayaan beliau meredah kehidupan susah menepati azamnya untuk membela nasib keluarga dan menghadiahkan kehidupan selesa kepada ibu bapa yang selama ini bertungkus lumus membanting tulang membesar dan menyekolahkan anak, serta adik beradik yang sentiasa memberi sokongan. Semua ini dipaparkan dalam Hijrah.

Rumah usang lama yang kecil bertiang batang pokok nibung di kampung diperbaiki dengan rumah papan lebih elok. Pada awal tahun 70-an berpindah pula ke tanah estet di tepi jalan utama Teluk Intan-Bagan Datuk berdekatan Kampung Sungai Haji Mohamad. Kampung Tebuk Mukmin kini sudah tidak berpenghuni.

Rumah di Kampung Tebuk Mukmin yang asalnya bertiang nibung ditambah rumah anjung papan.

Semangat juang Sanusi menjadi pendorong kepada adik-adik, Abdul Halin yang juga berjaya memasuki Universiti Malaya pada 1968. Beliau kemudian memperoleh ijazah sarjana di Universiti Reading, England dan PhD dari Cornell University, Amerika Syarikat.

Beliau mantan pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak masih berstatus Kolej Pertanian Malaya, Serdang dan kemudian Universiti Pertanian Malaysia.

Seorang lagi adik, Ahmad, melanjutkan pengajian tinggi ke Institut Teknologi Mara (ITM)—kini Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 1976.

Ayah dan ibu sudah lama pergi tetapi rasa puas di hati dapat memberi kebahagiaan kepada mereka sebelum menutup mata. Adik beradik Sanusi yang lain ialah Marwiah (kakak), Bajuri (abang-sudah meninggal), Murtini (kakak- sudah meninggal) dan Zainal (adik-sudah meninggal).

Lima anak Sanusi hasil perkahwinan dengan Saadiah Ismail juga berjaya dalam pelajaran dan memperoleh pendidikan di luar negara termasuk Australia dan England.

Apa yang dipaparkan dalam tulisan ini hanyalah secebis kisah hidup Sanusi selaku penulis buku Hijrah dan sedikit inti pati ringkas buku berkenaan. Tentu tidak seronok untuk memaparkan isi buku secara terperinci kerana boleh menyebabkan hilang keghairahan membacanya kelak.

SAMID@Abdul Hamid (bapa)

Justeru, miliki dan baca sendiri Hijrah. Kesemua liku hidup Sanusi dan keluarga dicatatkan dalam memoir ini serta boleh menjadi sumber inspirasi kepada sesiapa juga untuk merobohkan benteng kesusahan menuju kebahagiaan.

Buku ini diterbitkan oleh Brightside Solution Sdn Bhd, Bangi. Harga buku RM60 termasuk kos pos. Bayar melalui akaun Public Bank Islamic nombor 3103911700—Sanusi bin Samid.

Hantar maklumat resit bayaran, nama penuh, alamat lengkap, dan nombor telefon secara WhatsApp ke nombor 019-2642623 (Sanusi). Buku akan dihantar dalam tempuh 14 hari selepas pesanan dibuat mengikut giliran. Selamat membaca!

-BTS Media

Leave a Comment