BTS Media

Thailand, Kemboja capai persetujuan gencatan senjata, dialog dua hala

GAMBAR: Tentera Laut Thailand

THAILAND pada lewat hari Sabtu mengumumkan persetujuan secara prinsip untuk gencatan senjata dengan Kemboja dan memulakan dialog dua hala.

Langkah ini bertujuan menamatkan konflik serius antara kedua-dua negara jiran di Asia Tenggara itu yang telah menyebabkan 33 oang terbunuh dan lebih 150,000 orang hilang tempat tinggal.

Pengumuman ini dibuat selepas tiga hari pertempuran artileri berat di sempadan.

Kementerian luar Thailand mengesahkan persetujuan gencatan senjata ini menerusi “X”.

Kenyataan tersebut menyusul selepas post media sosial oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, bahawa beliau telah berbincang dengan pemimpin Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.

Trump berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk bertemu bagi “menyelesaikan secepat mungkin” isu gencatan senjata.

Kementerian luar Thailand turut mengesahkan panggilan telefon antara Trump dan Phumtham itu, dan menekankan harapan Thailand untuk melihat “niat ikhlas” dari Kemboja mengenai kemungkinan gencatan senjata.

Pihak Thailand menambah bahawa Phumtham telah meminta Trump menyampaikan kepada Kemboja bahawa Thailand ingin mengadakan dialog dua hala secepat mungkin.

Dialog ini bertujuan menetapkan langkah-langkah dan prosedur untuk gencatan senjata serta penyelesaian konflik secara aman.

Beberapa jam sebelum persetujuan gencatan senjata dicapai, pertempuran meletus di wilayah pesisir pantai kedua-dua negara di Teluk Thailand, kira-kira 250 kilometer di barat daya garisan hadapan utama.

Konflik ini menandakan peningkatan dramatik dalam pertikaian sempadan yang telah lama berlarutan, melibatkan jet pejuang, kereta kebal, dan tentera darat.

Pada mulanya, pertikaian timbul berhubung tapak kuil purba yang telah lama dipertikaikan sebelum merebak di sepanjang wilayah sempadan luar bandar.

Walaupun kedua-dua negara telah menyatakan kesediaan untuk gencatan senjata, namun mereka saling menuduh, justeru melemahkan usaha perdamaian.

Kementerian pertahanan Kemboja melaporkan 13 kematian, termasuk lapan orang awam, lima anggota tentera, dan 71 cedera sejak hari Khamis.

Thailand pula berkata, 13 orang awam dan tujuh askar terbuhuh.

Angka-angka ini menunjukkan bahawa jumlah korban di kedua-dua negara telah melebihi jumlah mangsa dalam pertempuran besar terakhir antara 2008 dan 2011.

Kedua-dua negara turut melaporkan pertempuran di pesisir pantai pada awal hari Sabtu.

Kemboja mendakwa pasukan Thailand telah menembak “lima peluru artileri berat” ke wilayah Pursat, yang bersempadan dengan wilayah Trat di Thailand.

Setakat ini, konflik tersebut memaksa lebih 138,000 orang pendudk dari wilayah sempadan Thailand melarikan diri, dan lebih 35,000 orang di sebelah Kemboja.

Susulan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada hari Jumaat, Duta Besar PBB Kemboja, Chhea Keo, berkata negaranya mahukankan “gencatan senjata segera” dan penyelesaian damai.

Pada hari Sabtu, Ketua PBB Antonio Guterre menggesa kedua-dua pihak supaya “segera bersetuju diadakan gencatan senjata” serta memulakan perbincangan bagi mencari penyelesaian berkekalan.

Timbalan jurucakapnya, Farhan Haq, mengeluarkan kenyataan mengutuk kehilangan nyawa, kecederaan terhadap orang awam, dan  kerosakan kepada kediaman dan infrastruktur kedua-dua belah pihak.

Kedua-dua negara saling menuduh memulakan tembakan. Selain itu, Kemboja menuduh tentera Thailand menggunakan bom berkelompok, manakala Thailand menuduh Kemboja menyasarkan infrastruktur awam, termasuk sebuah hospital.

Peningkatan permusuhan terbaharu menandakan peningkatan ketara pertikaian berpanjangan antara kedua-dua negara jiran itu, yang merupakan destinasi popular untuk jutaan pelancong asing.

Turut dipertikaikan, sempadan bersama sepanjang 800 kilometer.

Walaupun keputusan mahkamah PBB pada tahun 2013 telah menyelesaikan masalah itu selama lebih sedekad, krisis tercetus semula pada bulan Mei apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam pertempungan sempadan.

Hubungan semakin merosot bulan lalu apabila bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen, mengeluarkan rakaman panggilan telefon mengenai pertikaian tersebut dengan perdana menteri Thailand ketika itu, Paetongtarn Shinawatra.

Kebocoran perbualan mereka telah mencetuskan krisis politik di Thailand, hingga membawa kepada penggantungan jawatan Paetongtarn melalui perintah mahkamah, kerana beliau dituduh tidak cukup mempertahankan kepentingan Thailand dan mengkritik tenteranya sendiri.

-BTS Media

Leave a Comment