BTS Media

Apabila Ismail Sabri ‘ditolak’ ke belakang…

Oleh Ahmad Abd Hamid

Maka bersuaralah mantan veteran UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar, menegur pemimpin-pemimpin parti itu kerana layanan tidak wajar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden UMNO.

Tulis beliau dalam Twitter, walau pun Ismail Sabri hanya Naib Presiden, para pemimpin parti sepatutnya memberikan beliau penghormatan dan kedudukan sewajarnya kerana beliau adalah ketua kerajaan.

Pandangan dan teguran Syed Hamid ini berkait dengan penularan video ketika pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) meraikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Di dalam video jelas menunjukkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahidi, menarik tangan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berada di barisan hadapan di sampingnya. Sebelum itu Najib berada pada kedudukan agak terlindung di belakang.

Tindakan itu menyebabkan Ismail Sabri yang pada awalnya berada di tengah-tengah barisan hadapan terpaksa beranjak ke belakang, menjadikan beliau pula yang terlindung. Beliau nampak terpinga-pinga apabila terpaksa berundur.

Kenapa Zahid bersikap sedemikian? Adakah untuk menunjukkan kuasa selaku Presiden UMNO? Nampak beliau mahu Najib lebih menyerlah berada di barisan hadapan walau pun beliau (Najib) tiada kedudukan berbanding Ismail Sabri selaku naib presiden dan perdana menteri.

Sekali pun UMNO beranggapan Najib memberi sumbangan membantu memenangkan BN dalam PRN Johor, tidaklah harus sampai seolah-olah memperkecil Ismail Sabri dalam khalayak ramai. Kerana itulah orang berkata UMNO ini apabila seronok, macam-macam benda ia lupa.

Mungkin selepas ini ada dalam kalangan kepimpinan atau ahli UMNO yang mempertikai kenapa Syed Hamid sibuk dengan hal ehwal UMNO. Beliau bukan lagi ahli apabila menyertai Bersatu. Kerana itu tiada hak masuk campur.

Namun apa yang beliau perkatakan itu harus dijadikan iktibar. Tentunya ada juga dalam kalangan ahli UMNO yang menerima teguran Syed Hamid ini dengan hati terbuka kerana pandangan tersebut memang ada kebenarannya.

Di mana wajarnya ‘menyisihkan’ seorang perdana menteri yang sepatutnya dihormati. Hakikat bahawa beliau adalah juga pemimpin UMNO, apabila diperlakukan sedemikian menampakkan UMNO tidak menghormati pemimpin sendiri, atau memberi penghormatan secara terpilih.

Dalam kemelut seperti ini, mujurlah masih ada segelintir dalam UMNO yang waras dan sensitif berpegang kepada budaya murni dan tidak biadab. Ambil contoh pada malam meraikan kemenangan BN itu, kunjungan Ismail Sabri ke dewan diiringi dengan laungan gemuruh ‘bubarkan parlimen’.

Beberapa pihak, termasuk ahli Pemuda dan Puteri UMNO menyifatkan perbuatan ini sangat tidak wajar dan biadab kerana dilihat seperti mengambil kesempatan menekan perdana menteri. Bagi mereka, perbuatan ini hanya mencacatkan sambutan kemenangan tersebut.

Bubar parlimen bukan seperti main pondok-pondok. Ia memerlukan pertimbangan teliti serta mengambil kira pelbagai faktor. Apabila tiba masa sesuai, ia adalah hak perdana menteri untuk menasihati Yang diPertuan Agong. Berikan hak ini kepada perdana menteri. Pemimpin parti tidak harus mendesak sehingga meletakkan perdana menteri dalam keadaan sukar.

Selain itu perlu difikirkan faktor kos. Mengadakan PRU belanjanya tinggi sedangkan pada ketika ini kerajaan memerlukan banyak peruntukan bagi membantu rakyat yang terkesan oleh Covid-19.

Menurut rekod, perbelanjaan bagi PRN ke-15 Johor ialah sebanyak RM96 juta. Sebelum itu perbelanjaan bagi PRN ke-15 Melaka berjumlah RM45 juta. Ini bermakna jumlah keseluruhan dua PRN ialah RM141 juta.

Angka ini menampakkan peningkatan sangat ketara berbanding PRU ke-14. Perbelanjaan bagi Johor dan Melaka masing-masing RM35 juta dan RM13 juta sahaja. Bayangkan, jika PRN pun begitu tinggi kosnya, berapa agaknya perbelanjaan untuk PRU ke-15?

-BTS Media

Leave a Comment