BTS Media

Gempar lagi: Setiausaha kerajaan negeri, penasihat undang-undang digantung

KERAJAAN Negeri Sembilan hari ini menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar, Ismail Lasim, berkata keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan hari ini.

Menurut beliau, Pegawai Kewangan Negeri, Masri Razali, akan menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga pelantikan baharu dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara.

Bagi urusan perundangan pula, peguam Fahmi Adilah akan memberikan khidmat nasihat undang-undang sehingga Penasihat Undang-Undang Negeri baharu dilantik oleh Jabatan Peguam Negara.

Ismail berkata, notis mengenai penggantungan Zafir akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam, manakala notis berhubung Muzalmah akan disampaikan kepada Jabatan Peguam Negara.

Beliau turut mengesahkan bahawa semua anggota MMKN kekal memegang jawatan masing-masing.

Katanya, pentadbiran kerajaan negeri akan terus berjalan seperti biasa dan tanggungjawab kepada rakyat akan dilaksanakan sebaik mungkin.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika kemelut mengenai kedudukan anggota MMKN Negeri Sembilan masih berlarutan.

Pada hari Ahad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menitahkan pembatalan pelantikan anggota MMKN berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan Istana, keputusan itu dibuat selepas anggota MMKN berkenaan didapati melanggar sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September lalu.

-BTSMedia.my

Leave a Comment