TIDAK sampai 24 jam selepas video sebuah kenderaan yang menggunakan logo Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta lampu “beacon” tular di media sosial, seorang lelaki warga Pakistan ditahan dalam operasi khas di Setapak semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata lelaki itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di PV3 Platinum Hill Condominium hasil risikan susulan video berkenaan.
Menurutnya, video tersebut memaparkan sebuah kenderaan dengan logo JIM digunakan oleh seorang warga asing, sekali gus mencetuskan siasatan segera pihak berkuasa.
Pemeriksaan di lokasi turut membawa kepada penahanan seorang wanita warga Indonesia yang didapati tinggal lebih masa di negara ini. Dua pasport Indonesia yang dipercayai milik individu lain turut ditemui dalam simpanan lelaki berkenaan.
Siasatan awal mendapati video itu sebenarnya dirakam pada April 2025, namun hanya dimuat naik sebagai status WhatsApp oleh isteri lelaki terbabit pada 7 Ogos ketika wanita itu berada di Indonesia.
Susulan penahanan tersebut, pasukan operasi menjejaki sebuah Toyota Hilux yang dipercayai kenderaan sama seperti dalam video berkenaan ke sebuah premis mencuci kereta di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.
Pemilik kenderaan, yang juga warga Pakistan, kemudian ditahan bersama lapan pekerja asing lain terdiri daripada empat warga Bangladesh, tiga warga Pakistan dan seorang warga India.
Zakaria berkata pemilik Toyota Hilux itu disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala lapan pekerja terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Dalam perkembangan sama, lelaki Pakistan yang muncul dalam video tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 serta Akta Imigresen 1959/63. Wanita Indonesia yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Siasatan awal terhadap pemilik kenderaan mendapati dia mengaku memasang logo JIM dan lampu “beacon” untuk kegunaan peribadi tanpa sebarang tujuan rasmi.
Dia turut mendakwa tidak mengetahui bahawa perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan dan mengatakan logo serta lampu berkenaan sudah ditanggalkan sebelum video itu menjadi tular.
Kesemua mereka yang ditahan bersama kenderaan terbabit dibawa ke pejabat Imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut.
-BTSMedia.my



