KONFLIK berterusan di Asia Barat semakin menekan rantaian bekalan tenaga global, sekali gus meningkatkan risiko kepada negara Asean yang bergantung kepada import minyak dan gas dari Teluk Parsi.
Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), laluan kritikal seperti Selat Hormuz kini terjejas, sedangkan sebahagian besar penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) melalui kawasan itu disalurkan ke pasaran Asia, khususnya China dan India.
Dalam kalangan negara Asean, Filipina dikenal pasti paling terdedah dengan pergantungan hampir sepenuhnya kepada import minyak, diikuti Vietnam dan Malaysia. Tahap pendedahan import minyak mentah masing-masing dianggarkan pada 95 peratus bagi Filipina, 88 peratus Vietnam dan 69 peratus Malaysia, manakala Thailand dan Singapura mencatat kadar lebih rendah.
Selain kebergantungan terhadap bekalan mentah, tekanan turut meningkat apabila China mengambil langkah mengehadkan eksport produk petroleum bertapis seperti diesel, petrol dan bahan api jet. Walaupun kebanyakan pengeluaran digunakan di dalam negara, eksport sebanyak 5.8 juta tan pada tahun 2025 melibatkan pasaran utama termasuk Singapura, Vietnam, Jepun dan Korea Selatan.
Di Malaysia, impak kenaikan harga minyak global sudah mula dirasai apabila subsidi bahan api meningkat mendadak daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu. Kerajaan juga telah menyelaraskan harga bahan api tanpa subsidi, namun bantuan kepada rakyat masih diteruskan menerusi program Budi Madani RON95 dan Budi Diesel.
Menurut laporan yang dipetik Bernama, Singapura berperanan sebagai hab utama bahan api jet antarabangsa, justeru sebarang gangguan kepada aliran produk bertapis dijangka memberi kesan besar kepada rantaian bekalan serantau.
Dalam masa sama, kebergantungan terhadap import diesel turut menunjukkan corak serupa apabila Singapura memperoleh 16 peratus bekalannya dari negara Teluk, diikuti Indonesia dan Thailand dengan kadar lebih rendah.
Maybank IB turut memaklumkan bahawa pergantungan tinggi terhadap sumber tenaga luar menjadikan rantau ini mudah terdedah kepada kejutan bekalan, terutama apabila negara pengeluar utama mengenakan sekatan eksport bagi melindungi keperluan domestik.
Bagi sektor gas, Vietnam paling bergantung kepada bekalan dari Teluk dengan hampir separuh import datang dari rantau itu, khususnya melalui gas petroleum cecair (LPG). Indonesia, Thailand dan Singapura masing-masing turut mencatat tahap kebergantungan ketara, dengan Singapura menggunakan gas asli untuk menjana sebahagian besar bekalan elektriknya.
Selain tenaga, Teluk Parsi juga kekal sebagai sumber penting bagi komoditi lain seperti baja nitrogen yang digunakan dalam sektor pertanian. Thailand paling bergantung kepada bekalan dari rantau itu, manakala Malaysia dan Filipina mencatat tahap kebergantungan yang lebih rendah.
 – BTSMedia.my



